Jumaat, 17 Mac 2017

Harris gagal harumkan nama negara



ARKIB : 27/03/2001
Daripada JOHARI SHAWAL
DOHA, Qatar - Tentu para peminat bola sepak Malaysia mengeluh lagi apabila skuad negara masih tidak berupaya menyerlah pada pentas antarabangsa sesudah tamat kelayakan Piala Dunia 2002 di sini, kelmarin.

Dua kemenangan daripada enam perlawanan yang dicatat dalam kempen kelayakan Kumpulan Tiga Asia ini, pantas dikira menyimpang daripada kehendak mereka.

Peminat yang begitu dahagakan kegemilangan sejak sekian lama, terkilan lagi kerana jalan cerita baru yang diyakini, rupanya berbalik kepada yang lama.

Sukan nombor satu di negara ini terus gagal menghulurkan rasa bangga kepada para peminat ketika taraf bola sepak mereka telah beralih kepada profesional sepenuhnya sejak lebih sedekad.

Sesudah skuad Abdul Rahman Ibrahim agak memberi keyakinan pada kempen Piala Tiger 2000, pasukan Allan Harris tidak mampu meneruskan rentak itu dalam kelayakan Piala Dunia ini.

Tetapi Harris, jurulatih dari England yang ditugaskan menyambung kemajuan pasukan negara sesudah kontrak Rahman tamat hujung tahun lalu, tampak punya tiga alasan utama atas kegagalan pasukan bimbingannya.

Pertama, Harris membawa pasukan ke peringkat lebih tinggi dan lebih kompetitif berbanding Piala Tiger. Keputusan yang dicatat sudah dijangka semua.

Seperti Rahman, Harris tidak punya material yang bagus walaupun ia hadir daripada kelompok banyak. Meminjam kata-kata Rahman juga, pemain datang daripada Liga Malaysia bermutu rendah dan itulah pulangan daripada sebarang kejohanan antarabangsa.

Kedua, Harris kehilangan tiga pemain utama pada saat akhir dan terpaksa memanggil pemain bidan terjun, yang mungkin boleh dijadikan `kambing hitam.'

Dan ketiga, bendera putih di kem Malaysia dikibar lebih awal sesudah melihat undian kumpulan dan skuad yang sepatutnya disediakan khusus untuk kelayakan Piala Dunia ini, dijadikan bahan ujian untuk sasaran lebih utama, pingat emas Sukan SEA XXI Kuala Lumpur.

Jika itu tujuannya, Harris sudah berjaya. Dia sudah mendapat sekelompok kaca yang bakal bertukar menjadi emas pada temasya itu September nanti, cuma dia perlu mencari sekelompok lagi.

Harris sudah punya Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Hairuddin Omar, Irwan Fadli Idrus, Juzaili Samion, Mohd. Shukor Adan dan Norhafiz Zamani Misbah yang khusus disediakan untuk temasya itu. Aksi mereka dalam kelayakan ini mengagumkan dengan gerakan-gerakan bertaraf antarabangsa.

Empat gol yang dijaringkan Akmal untuk bergelar penjaring terbanyak bersama penyerang Qatar, Mohammed Salem Al-Enazi dan Emad Ayoub El Kair dari Palestin, adalah sesuatu yang perlu dibanggakan.

Zamani dan Irwan semakin matang sesudah diberi peluang dalam semua enam perlawanan. Dua gol Hairuddin pula menjadikannya sebagai `pemain sasaran kedua', Juzaili dan Shukor semakin bijak menguasai ruang tengah dan Syamsuri Mustaffa, walaupun diberi satu peluang, menggunakan peluang itu sebaiknya.

Tetapi apa pula peranan Rusdi Suparman, Ahmad Shahrul Azhar, Bahtiar Othman, Rosdi Talib, Khairil Zainal, B. Rajinikandh, Bobby Pian serta beberapa lagi pemain senior dalam pasukan kebangsaan.

Mereka adalah agen yang menyokong peningkatan pemain Sukan SEA ini dan lambat laun akan menjadi legenda kepada generasi baru yang bakal lahir. Itulah perancangan utama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Apa pun, keputusan yang dicatat skuad negara dalam kelayakan ini sekadar mengulangi kegagalan-kegagalan lalu. Malah, tempat ketiga adalah lebih buruk berbanding skuad Wan Jamak Wan Hassan dalam kelayakan yang sama, empat tahun lalu.

Harus diteliti dan dikaji secara mendalam, mengapa Malaysia tewas 2-1 kepada Hong Kong pada pusingan kedua di Doha dan gagal mengatasi Palestin pada pusingan pertama di Hong Kong ketika ramai yang menganggap dua pasukan itu sepatutnya mudah diatasi.

Adakah akibat dibuai rasa amat bangga dengan kedudukan ranking lebih tinggi hingga mengambil mudah setiap perlawanan. Qatar layak ke pusingan kedua dengan rekod tanpa cacat cela sedangkan Malaysia bagaikan yo-yo.

Jelas, pemain belum sematang yang dirasakan walaupun mereka sudah membuat kerja seratus peratus yang perlu diakui semua. Pingat emas Sukan SEA sebenarnya masih jauh dari pandangan.

Menariknya, Palestin, sebuah pasukan yang tidak dikenali di peringkat antarabangsa, mencuri tumpuan dengan aksi kental merampas tempat kedua, yang sepatutnya milik Malaysia. Malah skuad itu hampir pula membuat kejutan. Begitu juga Hong Kong yang semakin maju bola sepaknya.

Biarpun dianggap tidak setanding, Palestin dan Hong Kong sudah membuktikan di mana mereka sebenarnya ketika ini. Malaysia perlu lekas sedar di mana pula mereka. - Utusan

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0327&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4bZ727GsT
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan