ARKIB : 07/04/2001
MALAYSIA akan menghantar dua
pasukan kebangsaan termasuk skuad bawah 23 tahun untuk menyertai Pesta Bola
Merdeka yang akan diadakan dari 15 hingga 30 Jun ini.
Timbalan Presiden Persatuan Bola
Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah memberitahu, penyertaan
kedua-dua pasukan itu bertujuan untuk mendapatkan pendedahan khususnya skuad
bawah 23 tahun yang akan menghadapi Sukan SEA pada bulan September ini.
``Apa yang menarik, Pesta Bola
Merdeka 2001 akan diadakan di dua gelanggang iaitu di Kuala Lumpur dan di
kawasan luar Lembah Klang tetapi tempatnya masih belum dikenal pasti,'' kata
beliau dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis FAM, di
Melaka, semalam.
Kata Abdullah, di antara negara
yang mengesahkan penyertaan ialah Thailand, Bosnia dan Slovakia manakala
Bahrain sudah menyatakan minat tetapi masih belum memberikan keputusan.
Sementara itu, kata beliau,
mesyuarat berkenaan menerima laporan prestasi skuad bawah 23 tahun kebangsaan
yang beraksi pada pusingan kelayakan Piala Dunia di Hong Kong dan Doha, Qatar
baru-baru ini daripada pengurus pasukan, Datuk Dr. Ibrahim Saad.
``Dalam laporannya, Dr. Ibrahim
menyentuh tentang pemain yang bermain dengan baik walaupun mutu permainan
pasukan negara tidak konsisten,'' kata beliau.
Dalam perkembangan lain, kata
beliau, pengadil bola sepak negara ini akan menyertai program pertukaran
pengadil dengan pengadil-pengadil Liga Jepun dan Liga Korea pada masa akan
datang.
``Program ini penting sebagai
pendedahan kepada pengadil dari ketiga-ketiga negara bagi meninggikan lagi mutu
pengadilan,'' kata beliau.
Mengenai keputusan penggantungan
empat tahun ke atas Ahli Majlis Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk
Paduka Ahmad Basri Akil, beliau berkata, ia masih kekal disebabkan FAM belum menerima
sebarang rayuan daripadanya sehingga kini.
FAM katanya, hanya akan
membincangkan isu Ahmad Basri sekiranya beliau mengemukakan rayuan.
``Kita belum menerima apa-apa
keputusan daripada Ahmad Basri, jadi keputusan FAM itu dikira kekal,'' katanya.
Ahmad Basri sebelum ini
dilaporkan mahu menyaman FAM kerana badan induk bola sepak negara itu
menjatuhkan hukuman ke atasnya tanpa menyatakan butiran faktor.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0407&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bZvq9xxe
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan