Jumaat, 17 Mac 2017

FAM sedia bertindak - Tiga pemain Pahang tolak tawaran bookie

ARKIB : 05/05/2001
Oleh: YUSWANDI MAJID
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menyiasat dengan serius gejala rasuah yang mula menunjukkan bibit-bibit untuk timbul semula selepas tiga pemain Pahang menerima panggilan bookie sebelum perlawanan menentang Pulau Pinang dalam perlawanan Liga Perdana Satu, baru-baru ini.

Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, usaha itu memerlukan kerjasama semua pihak termasuk Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang kerana gejala itu bermula dari negeri berkenaan.

``Saya khuatir Pulau Pinang kini dijadikan sebagai pusat atau sasaran untuk kegiatan rasuah bola sepak dan ini memerlukan tindakan sewajarnya.

``Semua pasukan yang mengadakan perlawanan di sana nanti dikhuatiri akan mengalami keadaan yang sama seperti pasukan Pahang,'' katanya sewaktu menghadiri majlis perasmian Kejohanan Bina Badan Pahang 2001 di Kuantan, semalam.

Pada 24 April lalu, tiga pemain Pahang dikatakan telah menerima panggilan daripada bookie sebelum perlawanan menentang pasukan Pulau Pinang.

Bagaimanapun, ketiga-tiga pemain itu telah menolak sogokan sebanyak RM30,000 dan lanjutan daripada itu, Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) telah membuat satu laporan Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Tengku Abdullah berkata, para pemain lain seharusnya mencontohi tiga pemain Pahang itu yang tidak mudah terpengaruh dengan tawaran bookie sebaliknya terus melaporkan kepada pegawai pasukan.

``Tindakan sedemikian adalah petanda baik dan menunjukkan tahap kesedaran pemain mula meningkat terhadap gejala rasuah ini.

``Mereka mula memahami risiko dan akibatnya sekiranya mereka terjebak dalam masalah berkenaan,'' ujarnya.

Beliau berkata, tindakan terpuji itu menunjukkan sikap berpasukan yang tinggi di kalangan pemain dan tidak memikirkan diri sendiri sahaja.

``FAM akan membuat tinjauan terhadap masalah ini tetapi tindakan itu diambil tidak secara terburu-buru,'' katanya.

Beliau berkata, dengan adanya bantuan polis, masalah berkenaan yang didakwa didalangi oleh sindiket asing akan dapat diatasi.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0505&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4basgro3z

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan