Jumaat, 17 Mac 2017

Aksi dalam kumpulan gagah

ARKIB : 17/05/2001
Oleh JOHARI SHAWAL
MALAYSIA bakal berdepan tugas berat untuk mencatat keputusan lebih baik pada Pestabola Merdeka 2001 bulan depan, apabila diletakkan sekumpulan dengan tiga pasukan gagah dari negara Arab dan Eropah dalam Kumpulan A.

Skuad negara diundi satu kumpulan dengan Bahrain, pasukan yang mengejutkan skuad pilihan, Kuwait dalam kelayakan Piala Dunia 2002 Mac lalu untuk layak ke pusingan kedua zon Asia.

Turut berada dalam kumpulan ialah Slovakia dan Bosnia dan Herzegovina yang dijangka menjadi rintangan paling getir untuk diatasi skuad negara.

Begitu juga skuad bawah 23 tahun Malaysia yang diletakkan dalam Kumpulan B bersama jaguh Asia Tenggara, Thailand dan pasukan kental Amiriah Arab Bersatu (UAE).

Pestabola Merdeka edisi ke-37 ini bakal berlangsung pada 21 hingga 30 Jun ini dengan semua perlawanan dijadualkan di Stadium Shah Alam, Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Pestabola Merdeka, Datuk Dr. Ibrahim Saad pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam berkata, kejohanan kali ini diharap lebih meriah berbanding kejohanan tahun sebelumnya.

``Kejohanan ini diadakan ketika pertandingan Liga Malaysia berhenti rehat. Kita juga berharap ia mendapat tumpuan utama para peminat, begitu juga para pemain,'' katanya.

Kejohanan ini menawarkan hadiah wang tunai AS$100,000 (RM380,000) dengan juara akan menerima AS$50,000 (RM190,000), naib juara AS$30,000 (RM114,000) manakala dua pasukan yang tewas pada separuh akhir masing-masing meraih AS$10,000 (RM38,000).

Ibrahim berkata, tiket-tiket perlawanan akan dijual dengan harga RM30 (grandstand), RM10 (teres) dan RM5 bagi pelajar sekolah.

``Sebanyak dua perlawanan akan dilangsungkan dalam sehari dengan perlawanan pertama bermula pada 7.30 malam dan perlawanan kedua 9.30 malam,'' tambahnya.

Malaysia muncul naib juara Pestabola Merdeka 2000 selepas tewas 2-0 kepada New Zealand pada perlawanan akhir. Bagaimanapun, kejohanan edisi ke-36 itu gagal mendapat sambutan apabila hanya empat pasukan menyertainya termasuk Oman dan pasukan bawah 23 Malaysia.

Jurulatih kebangsaan, Allan Harris buat masa ini akan mengendalikan kedua-dua pasukan (senior dan bawah 23) sebelum kejohanan berkenaan.

Bagaimanapun, Harris dijangka akan menerajui pasukan senior manakala pasukan junior dikendali Norizan Bakar.

Dalam pada itu, FAM semalam turut membincangkan kejohanan bola sepak lima sebelah (Futsal) peringkat kebangsaan yang telah ditetapkan pada 26-28 Mei ini.

Ia disertai enam pasukan iaitu dua dari Majlis Sukan Kakitangan Kerajaan (Maksak) iaitu Johor dan Kedah, dua dari Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum) iaitu Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Perguruan Sultan Idris dan dua dari kolej perguruan.

``Daripada enam pasukan ini, kita akan bentuk satu pasukan untuk mewakili Malaysia bagi Kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asia Tenggara (AFF) yang dijadual pada 6-10 Jun ini di Kompleks Sukan Bukit Jalil.

Lima negara akan menyertai kejohanan ini iaitu Malaysia, Thailand, Singapura, Filipina dan Brunei yang mana pasukan yang layak akan menyertai Kejohanan Futsal Asia di Iran pada 14-20 Julai.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0517&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bbEC68fU

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan