Jumaat, 17 Mac 2017

Harris yakin dengan skuad bawah 23

ARKIB : 14/06/2001
JURULATIH pasukan bawah 23 kebangsaan, Allan Harris percaya skuad bimbingannya mampu mempersembahkan tahap terbaik pada Pestabola Merdeka 2001 minggu depan antara persiapan utama sebelum mengharungi Sukan SEA XXI Kuala Lumpur, September ini.

``Beberapa pemain utama dari Selangor sudah memasuki kem latihan. Mereka adalah antara tonggak pasukan ini dan saya percaya pasukan akan lebih kukuh dengan kehadiran mereka,'' kata Harris.

Pasukan muda negara menang 2-1 dalam aksi persahabatan menentang skuad bawah 23 Singapura di Shah Alam Isnin lalu tetapi kekuatan mereka, kata Harris hanya dua pertiga.

``Keputusan itu menggembirakan. Walaupun kekuatan pasukan hanya dua pertiga, pemain menunjukkan semangat tinggi,'' ujarnya.

Nizaruddin Yusof, D. Surendran, Jaafar Salleh dan Shawal Johadi adalah antara pemain Selangor yang melapor diri ke kem latihan pasukan junior kebangsaan di Wisma FAM, kelmarin.

Mereka baru beraksi dalam perlawanan akhir Piala FA menentang Sarawak, Ahad lalu.

Empat pemain ini dianggap antara tonggak pasukan bawah 23 yang bakal menghadapi Pestabola Merdeka 21-3 Jun ini.

Ia sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA. Acara bola sepak dalam temasya dwitahunan itu kali ini dikhususkan untuk pasukan bawah 23.

Sebelum kemasukan pemain Selangor, pasukan Harris sudah memiliki beberapa pemain muda ternama termasuk empat pemain yang berlatih di luar negara, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Juzaili Samion, Rudie Ramli dan Fadzli Shaari.

Kehadiran mereka dan pemain yang sedia ada dalam skuad itu melengkapkan 30 pelatih tetapi Harris perlu memilih 18 daripada mereka untuk Pestabola Merdeka.

``Memandangkan ramai pemain hebat dalam skuad ini, saya akui menghadapi sedikit masalah untuk memilih pemain.

``Di sini, pemain perlu bertarung untuk merebut tempat dan saya fikir ia adalah pertarungan sihat,'' katanya.

Pasukan junior negara diletakkan dalam kumpulan B yang terdiri Thailand, India dan Uzbekistan.

Kumpulan A terdiri pasukan senior Malaysia, Bosnia-Herzegovina, Slovakia dan Bahrain
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0614&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4beZpbstO

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan