Jumaat, 17 Mac 2017

Empat tonggak harapan Harris


 

ARKIB : 15/06/2001
Empat tonggak harapan Harris
JURULATIH negara, Allan Harris (kanan) memberi arahan kepada para pemain sewaktu sesi latihan menjelang Pestabola Merdeka di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam. - Gambar HANAFI KHAMIS.

Oleh SAADON JAAFAR
EMPAT tonggak kebangsaan yang beraksi di luar negara akan menjadi ramuan utama buat jurulatih Allan Harris dalam merangka strategi kemenangan skuad bawah 23 negara apabila memulakan cabaran kumpulan B dalam Pestabola Merdeka pada 21 hingga 30 Jun ini.

Sekalipun senarai akhir 18 pemain hanya akan diumumkan pada Selasa ini, Harris sudah membayangkan bahawa empat tempat bakal menjadi milik pemain yang mempamerkan keunggulan di Eropah itu.

Kehadiran wakil kelab Strasbourg dari Perancis, Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Juzaili Sameon, serta dua pemain dari kelab SV Wehen dari Jerman, Rudie Ramli dan Fadzli Shaari, cukup melegakan jurulatih dari England itu.

Harris sedar betapa beratnya tugas mengemudi barisan utama negara, tetapi beliau tetap yakin tentang peluang Malaysia jika anak didiknya memberi aksi terbaik dalam kejohanan itu.

``Buat masa ini kita terpaksa lupakan seketika tentang Sukan SEA dengan tumpuan penuh diberikan terhadap Pestabola Merdeka.

``Para pemain tampak cukup bersemangat, begitu juga dengan empat pemain yang beraksi di luar negara itu.

``Kita kehilangan pemain Pahang, Azwani Kadir yang mengalami kecederaan kelangkang dan dia terpaksa dihantar pulang,'' katanya selepas sesi latihan di padang Wisma FAM, semalam.

Harris turut memuji Akmal Rizal, Juzaili, Rudie dan Fadzli yang disifatkan mampu mengetengahkan aksi terbaik pada kejohanan kali ini.

``Mereka semua sudah dianggap profesional dan tidak perlukan banyak tunjuk ajar berbanding pemain lain. Mereka juga tahu tugas masing-masing pada setiap posisi diperlukan.

``Di barisan serangan, kita sudah memiliki enam penyerang yang boleh diharapkan untuk menguji gawang lawan,'' ujarnya.

Skuad bawah 23 bakal berdepan pasukan bawah 23 Thailand, India dan Uzbekistan.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0615&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4becGO5RW

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan