Sabtu, 18 Mac 2017

United persembah kemahiran tinggi

ARKIB : 23/07/2001
MANCHESTER United menjadikan skuad negara bagai barang mainan apabila membelasah tuan rumah, 6-0 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil yang berubah seperti Old Trafford, semalam, lapor JOHARI SHAWAL

Tidak banyak yang boleh dilakukan oleh skuad muda negara untuk menghalang persembahan Red Devils yang mendapat dua gol masing-masing Rudd van Nistelrooy dan Andy Cole, sementara Beckham dan Luke Chadwick menghasilkan satu gol untuk United.

Di depan kira-kira 80,000 penonton sebahagian besarnya berbaju merah United mempersembahkan kemahiran tinggi dengan aksi jelas menghiburkan.

Disiplin tinggi nyata kukuh pada setiap pemain Red Devils dan kesungguhan aksi mereka jelas tidak setanding dengan pasukan kebangsaan untuk United kukuh di hadapan dengan tiga gol pada babak pertama.

Bintang baru United, Ruud van Nistelrooy mudah merobek gawang Malaysia untuk gol pembukaan seawal minit ke-7 menewaskan Kamarulzaman Hassan dengan tendangan leret setelah menyambar hantaran Dwight York.

Dua penyerang negara Akmal Rizal Ahmad dan Nizaruddin Yusof nyata sukar bergerak apabila dikawal ketat Jaap Sam dan Denis Irwin.

Akmal dan Nizaruddin, masih mampu menggugat Barthez menerusi tendangan jarak jauh masing-masing pada awal permainan tetapi percubaan mereka jauh daripada sasaran.

Ryan Gigs nyata licik di bahagian kiri dan kerap menghuru-harakan pertahanan Malaysia ditambah aksi Beckham di sebelah kanan dan Roy Keane di bahagian tengah.

United melancarkan serangan bertubi-tubi terutama menerusi gerakan bahagian tengah tetapi gol kedua United hadir pada minit ke-29 berlaku apabila York melorongkan bola pada Bekcham yang tidak dikawal di sebelah kanan untuk ketua pasukan England itu mudah menewaskan Kamarulzaman menolak masuk gol kedua.

Bintang Belanda, Nistelrooy sekali lagi merobek gawang Malaysia pada minit ke-35 dan kali ini mudah melambungkan bola melepasi Kamarulzaman untuk gol ketiga United.

Pada babak kedua ini, Sir Alex Fergusson menukar tujuh pemain termuda bintang mereka, Beckham dan Gigs, mankala jurulatih Malaysia, Alan Harris cuma mengeluarkan empat pemain.

Namun gol keempat United begitu pantas hanya seminit sebaik babak kedua bermula apabila Andy Cole bebas menggelecek bola dalam kotak penalti sebelum menewaskan penjaga gol gantian, Azmin Azram Aziz.

Akmal mengejut Barthez pada minit ke-68 apabila membuat rembatan kencang dari kawasan petak penalti hanya menyaksikan bola mengenai palang gol ketika menjaga gol Perancis itu sudah tertewas.

Luke Chadwick turut melakar nama sebagai penjaring United dengan mudah menewaskan Azmin menerusi rembatan leret minit ke-70.

Andy Cole terus meranapkan skuad negara apabila membuat rembatan dari luar kotak penalti untuk gol keenam United minit ke-77.

MALAYSIA - Kamarulzaman Hassan, Azmin Azram Aziz dan Mohd. Syamsuri Mustafa (penjaga gol), S. Jayaprakash, Rezuan Radzy, Mazuki Yusof, Norhafiz Zamani Misbah, K. Rajini, Mohd. Nizam Jamil dan Abd. Aziz Ismail (pertahanan), Subri Sulong, Ahmad Shahrul Azhar, K. Rajan, Chow Chee Weng, Mohd. Shawal Johadi, Mohd. Syaiful Sabtu, Mohd. Shukor Adan, Juzaili Samion, Indra Putra Mahayuddin dan D. Surendran (tengah), Hairuddin Omar, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Nizaruddin Yusof, Rudie Ramli, Fadzli Shaari dan Mohd. Fareed Shah (penyerang).

MANCHESTER UNITED - Fabien Barthez dan Raimond van ger Gouw (penjaga gol), Jaap Stam, Gary Neville, Phil Neville, Ronny Johnsen, Wes Brown dan Denis Irwin (pertahanan), Roy Keane, Paul Scholes, David Beckham, Nicky Butt, Ryan Giggs, Juan Sebastian Veron dan Quinton Fortune (tengah), Ruud van Nistelrooy, Andy Cole, Dwight Yorke, Ole Gunnar Solksjaer dan Luke Chadwick (penyerang).
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0723&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bhZYgeG9

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan