Sabtu, 18 Mac 2017

Pemain Malaysia terlalu muda - Ferguson

ARKIB : 24/07/2001
SIR Alex Ferguson berkata, pemain Malaysia terlalu muda untuk menentang Manchester United tetapi mereka telah berjaya meraih pengajaran dan pengalaman berguna dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, kelmarin, lapor JOHARI SHAWAL.

``Mereka masih muda... terlalu muda. Sukar bagi mereka bermain dengan kelab terbaik dunia. Tetapi sekurang-kurangnya mereka telah meraih pengalaman berharga,'' kata pengurus skuad Red Devils itu selepas perlawanan kelmarin.

United yang dibarisi bintang-bintang handalan dunia termasuk ketua pasukan England, David Beckham, bintang terbaru Belanda, Ruud van Nistelrooy dan `orang besi' Argentina, Juan Sebastian Veron, meratah pasukan muda negara 6-0 dalam perlawanan persahabatan itu.

Van Nistelrooy, yang membuat kemunculan pertama untuk United dalam perlawanan yang disaksikan 85,000 penonton, sebahagian besar peminat setia Red Devils, menjaringkan dua gol.

Saingan Nistelrooy di bahagian serangan, Andy Cole turut menjaringkan dua gol manakala Beckham dan Luke Chadwick masing-masing satu gol.

``Pasukan anda mempunyai keupayaan tetapi mereka perlu mendapat lebih banyak pendedahan untuk terus maju,'' tambah Ferguson.

Jurulatih Malaysia, Allan Harris bagaimanapun gembira dengan aksi anak buahnya.

``Walaupun tewas 6-0, ia adalah pengalaman terbaik. Sudah tentu ia satu perlawanan sukar kerana bermain dengan pasukan yang memiliki pemain-pemain terbaik dunia. Saya gembira mereka tidak kaku di padang,'' katanya.

Perlawanan itu adalah antara persiapan utama pasukan bawah 23 negara untuk menghadapi Sukan SEA XXI Kuala Lumpur, September ini.

Malaysia dijadual bermain dalam satu lagi persahabatan, menentang kelab Al-Shabab di Stadium Kelana Jaya, hari ini.

Manakala United yang sedang dalam lawatan ke Asia sebagai persiapan untuk musim baru Liga Perdana England, akan bermain dengan Pilihan Singapura, hari ini dan Thailand pada 29 Julai.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0724&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4bhbl6Vrv © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan