Sabtu, 18 Mac 2017

Bola sepak Piala LG di Vietnam -- 28 pemain bawah 23 disenarai

ARKIB : 01/08/2001
PASUKAN bola sepak bawah 23 kebangsaan bakal menghantar barisan terbesar ke Piala LG di Vietnam minggu depan, dengan beberapa muka baru disenaraikan daripada keseluruhan 28 pemain untuk kejohanan 10-18 Ogos ini, lapor JOHARI SHAWAL.

Antara muka baru yang tersenarai ialah penjaga gol dari Melaka, Azizon Kadir, Rezuan Radzy (JKR Kedah), Mohd. Zulkifli Affendi Zakri (Kuala Lumpur) dan Khairunisam Shahabudin Hussain (Perlis).

Selebihnya adalah barisan pasukan muda kebangsaan bimbingan jurulatih dari England, Allan Harris yang telah mengharungi tiga perlawanan persahabatan utama baru-baru ini termasuk menentang juara England, Manchester United, 22 Julai lalu.

Dalam aksi persahabatan itu, Malaysia tewas 4-0 kepada pasukan Piala Dunia Arab Saudi, tewas 3-1 kepada kelab Al-Shabab dan tewas 6-0 kepada United.

Piala LG adalah ujian terakhir skuad negara sebelum mengharungi Sukan SEA XXI Kuala Lumpur, September ini.

Kejohanan ini menemukan enam pasukan yang dibahagikan kepada dua kumpulan, dengan Malaysia diletakkan dalam kumpulan A bersama tuan rumah, Pilihan Ho Chi Minh dan Universiti Kyun Hee dari Korea Selatan.

Manakala kumpulan B terdiri daripada Song Lam-Nghe An, Melbourne Knights (Australia) dan pasukan kebangsaan Indonesia.

Bagaimanapun difahamkan, Indonesia hanya menghantar kelab terbaik mereka pada kejohanan itu.

Semua pemain akan melapor diri di Wisma FAM, Kelana Jaya hari ini dan pasukan akan berlepas ke Bandaraya Ho Chi Minh pada 8 Ogos.

Tujuh pemain sudah pun mula menjalani latihan di Wisma FAM sejak Ahad lalu sebelum kemasukan 21 lagi pemain hari ini.

SENARAI PEMAIN
Kamarulzaman Hassan, Syamsuri Mustafa, Abd. Aziz Ismail, Hairuddin Omar, Subri Sulong, Mazuki Yusof, S. Jayaprakash, Nor Suhaimi Bahauddin, Jaafar Salleh, Shawal Johadi, D. Surendran, Nizaruddin Yusof, Nizam Jamil, Norhafiz Zamani Misbah, K. Rajan, Syaiful Sabtu, Shukor Adan, Indra Putra Mahayuddin, K. Rajini, Zulkiflil Affendi Zakri, Khairunisam Shahabudin Hussain, Azizon Kadir, Rezuan Radzy, Irwan Fadli Idrus, Akmal Rizal Rakhli, Juzaili Samion, Fadzli Shaari, Rudie Ramli.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0801&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4bhrAgz65
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan