Sabtu, 18 Mac 2017

Piala LG: Bermula cemerlang

ARKIB : 13/08/2001
SKUAD bola sepak kebangsaan bermula cemerlang pada Piala LG di Vietnam, apabila mencatat kemenangan 2-1 ke atas kelab dari Korea Selatan, Universiti Kyun Hee pada perlawanan kumpulan A, semalam.

Penyerang kebangsaan, Hairuddin Omar menjaringkan kedua-dua gol skuad negara pada babak kedua permainan selepas ketinggalan 1-0 pada babak pertama.

Bagaimanapun, kejayaan pasukan negara dicemari cerita duka apabila bek tengah, Norhafiz Zamani Misbah ditimpa kecederaan serius.

Kaki Zamani terseliuh selepas berlaga dengan pemain Kyun Hee pada babak kedua perlawanan.

Jurulatih kebangsaan, Allan Harris berkata, kecederaan yang dialami Zamani agak membimbangkan dan khidmat pemain utama itu mungkin tidak dapat digunakan pada perlawanan seterusnya.

``Saya bimbang dia mungkin juga tidak dapat bermain untuk Sukan SEA nanti kerana kecederaannya nampak serius.

``Apa pun, kita tunggu laporan daripada pegawai perubatan pasukan sama ada benar cederanya serius,'' kata Harris.

Mengenai kemenangan itu, Harris puas hati dengan persembahan anak buahnya yang menunjukkan komitmen tinggi dalam permainan.

``Dua gol Hairuddin nyata amat bermakna lebih-lebih lagi selepas kita ketinggalan satu gol pada babak pertama.

``Saya harap kemenangan ini terus menyuntik semangat pemain kita untuk beraksi lebih baik,'' tambah Harris.

Harris semalam meletakkan Akmal Rizal Rakhli dan Rudie Ramli di barisan depan. Seorang lagi penyerang, Nizaruddin Yusof tidak diturunkan kerana masih mengalami kecederaan lutut.

Skuad negara akan menentang pasukan tuan rumah, Pilihan Ho Chi Minh esok untuk tempat ke separuh akhir



SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0813&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4bi99eCfm

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan