Sabtu, 18 Mac 2017

United memang bukan tandingan kita

ARKIB : 22/07/2001
MANCHESTER United memang bukan tandingan tetapi pasukan kebangsaan usah tenggelam dengan kehebatan kelab bola sepak paling popular di dunia itu apabila turun untuk aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.

Dibarisi pemain bertaraf dunia dengan label harga yang jelas tidak setanding dengan pemain negara, juara Liga Perdana England itu sememangnya bakal menjadi tumpuan penuh 85,000 penonton berbanding pasukan kebangsaan.

Tidak hairanlah apa sahaja aktiviti yang diatur untuk kelab itu setiba mereka di Malaysia, mendapat sambutan hebat peminat, dan kira-kira 10,000 penyokong setia mereka di sini membanjiri Stadium Nasional semalam ketika Red Devils turun menjalani latihan ringan.

Aksi David Beckham, Roy Keane, Fabien Barthez, Ryan Giggs, Dwight Yorke, Andy Cole dan Jaap Stam pastinya dinantikan penuh sabar. Dua pemain terbaru pasukan juara Eropah itu, Juan Sebastian Veron dari Argentina dan Ruud van Nistelrooy dari Belanda, bakal menambah kehebatan perlawanan malam ini.

Pengurus Red Devils, Sir Alex Ferguson tidak perlu berkerut dahi untuk membuat percaturan siapa yang perlu diturunkan tetapi Allan Harris terpaksa bekerja keras mempersiapkan barisan pasukannya.

Biarpun perlawanan ini dianggap tidak penting, setidak-tidaknya anak buah jurulatih kebangsaan itu mampu memberi saingan, atau mungkin mampu mengejutkan kelab terkemuka dunia itu.

Harris harus menanam penuh percaya kepada barisan mudanya - pasukan yang bakal mengharungi Sukan SEA XXI Kuala Lumpur September ini - untuk pertarungan yang dianggap pendedahan paling berharga buat mereka.

Dan inilah kesempatan terbaik buat Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Hairuddin Omar dan Mohd. Nizaruddin Yusof berganding bahu meruntuhkan kekebalan Jaap Stam, Keane, Wes Brown, Gary Neville mahupun Barthez.

Norhafiz Zamani Misbah, Mohd. Nizam Jamil, Abdul Aziz Ismail dan Rosdi Talib mungkin bakal huru-hara di barisan pertahanan mengekang kelicikan Cole, Yorke atau pun Nistelrooy di barisan serangan. Dan Kamarulzaman Hassan pasti menjadi pemain paling sibuk di kotak penalti.

Tidak pasti siapa yang akan menjana bahagian tengah tetapi pemain senior kebangsaan, Ahmad Shahrul Azhar dan Mohd. Shukor Adan dan Subri Sulong harus menjadi pilihan utama untuk cuba mengatasi keperkasaan Beckham, Giggs dan Paul Scholes.

Apa pun, perlawanan malam ini harus tidak dianggap oleh pemain muda negara sebagai pertunjukan semata-mata kerana ia adalah medan terbaik untuk mempelajari skil dan teknik daripada sebuah pasukan yang diakui terhebat di dunia.

Pengalaman bersama United diharap mampu menjadi suntikan semangat pasukan bawah 23 kebangsaan untuk memenuhi sasaran merangkul pingat emas pada Sukan SEA nanti.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0722&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4bhXk0iqR

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan