Sabtu, 18 Mac 2017

Tugas skuad senior pulihkan imej

ARKIB : 21/06/2001
TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, pasukan senior negara menggalas tugas lebih besar dalam Pestabola Merdeka 2001 berbanding pasukan bawah 23 kebangsaan.

``Pasukan ini mewakili imej keseluruhan bola sepak Malaysia. Jika mereka bermain buruk, itulah tanggapan orang ramai mengenai liga kita.

``Inilah masanya untuk kita pulihkan semula imej bola sepak kita,'' katanya selepas menyaksikan latihan pasukan senior kebangsaan di Kelana Jaya, semalam.

Skuad bimbingan Norizan Bakar itu akan memulakan kempen Pestabola Merdeka edisi ke-37 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A menentang Bahrain di Stadium Shah Alam, malam ini.

Dua lagi pasukan dalam kumpulan ialah Slovakia dan Bosnia. Bahrain menghantar pasukan yang telah layak ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia Zon Asia manakala Bosnia sedang bertarung di peringkat Eropah.

Menurut Tengku Abdullah, pemain yang ada dalam skuad senior seharusnya sudah memahami tugas masing-masing.

``Sebahagian besar pemain pasukan ini telah melalui pengalaman dalam kelayakan Piala Dunia dan saya pasti mereka akan mempersembahkan tahap lebih baik dalam kejohanan ini,'' katanya.

Sementara itu Norizan berkata, semua 18 pemain dalam pasukannya berada pada tahap terbaik dan bersedia untuk berjuang untuk negara.

``Biarpun tidak menjadi pertaruhan utama dalam kejohanan ini (berbanding pasukan bawah 23), pasukan ini lebih cenderung dilihat sebagai pasukan utama kebangsaan.

``Dan sebagai pasukan kebangsaan, kita harus menunjukkan permainan lebih baik,'' katanya.

Dalam pada itu Norizan berkata, beliau akan memanggil dua lagi pemain untuk mencukupkan 20 pemain seperti yang dipersetujui semua pasukan dalam mesyuarat pengurus pasukan, semalam.

``Kemungkinan saya akan memanggil semula pemain yang digugurkan sebelum ini iaitu Wan Rohaimi Ismail, Ahmad Shaharuddin Rosdi atau Mohd. Imran Ahmad,'' ujarnya.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0621&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4bfKENH60

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan