Sabtu, 18 Mac 2017

Malaysia bermula malap


 

ARKIB : 22/06/2001
Malaysia bermula malap
PEMAIN skuad kebangsaan, Yusri Che Lah (kanan) bersaing merebut bola dengan pemain Bahrain, Mohammed Jaaffar Ali pada perlawanan Pestabola Merdeka di Stadium Shah Alam, semalam. Bahrain menang 4-2. - Gambar ASWAD YAHYA.

Oleh JOHARI SHAWAL dan A. JAILANI ABDULLAH
MALAYSIA memberi tentangan sengit kepada Bahrain pada perlawanan pertama Kumpulan A Pestabola Merdeka 2001 tetapi akhirnya tewas 4-2 hasil jaringan hatrik Hussain Ali Ahmed pada perlawanan menarik di Stadium Shah Alam, semalam.

Skuad negara mendahului 2-1 menerusi dua jaringan jarak jauh Abdul Ghani Malek dan Gilbert Cassidy Gawing selepas dikejutkan dengan gol awal pasukan lawan seawal minit ketiga menerusi Talal Yusuf.

Begitupun, kelemahan barisan pertahanan menyaksikan Bahrain bangkit pada babak kedua dengan tiga gol Hussain minit ke-70, 85 dan 90.

Kedua-dua pasukan bermain pantas tetapi Bahrain lebih banyak membuat serangan ke kubu skuad negara terutama pada babak pertama.

Malaysia yang agak kelam-kabut pada lima minit pertama permainan, mendapat semula rentak tetapi mensia-siakan dua peluang menerusi dua sepakan percuma minit kelapan dan 12. Sepakan pertama Rosdi Talib melepasi palang gol manakala percubaan kedua Gilbert turut tersasar.

Gol penyamaan skuad negara akhirnya hadir apabila Ghani membuat sepakan lintang dari jarak jauh tetapi bola menjunam terus ke dalam gol ketika penjaga gol Bahrain, Hamad Khalifa Al-Ruwaie cuba menepis bola keluar.

Bahrain yang bermain lebih pantas kerap mengucar-ngacirkan pertahanan Malaysia tetapi kerja keras Khairil Zainal dan B. Rajinikandh di barisan pertahanan mengecewakan pasukan lawan untuk mengikat kedudukan 1-1 pada babak pertama.

Malaysia bagai mendapat suntikan semangat pada babak kedua dengan permainan lebih tersusun dan serangan yang membahayakan Bahrain. Hasil usaha keras barisan tengah, skuad negara mendapat sepakan percuma pada minit ke-52 apabila ketua pasukan, Ahmad Shahrul Azhar dijatuhkan.

Sepakan percuma cantik dari jarak 25 meter yang diambil Gilbert menjunam masuk ke gawang, menewaskan sekali lagi Hamad Khalifa untuk gol kedua skuad negara.

Begitupun, kegembiraan kem negara tidak lama apabila Bahrain menyamakan kedudukan pada minit ke-70 menerusi sepakan kencang Hussain dalam kotak penalti.

Hussain meranapkan harapan skuad negara dengan gol ketiga hasil rembatan kencangnya pada minit ke-85.

MALAYSIA: Azmin Azram Aziz, B. Rajinikandh, Khairil Zainal, Rosdi Talib, Abd. Ghani Malek, Ahmad Shahrul Azhar, Yusri Che Lah (Chow Chee Weng), Gilbert Cassidy Gawing, Nik Ahmad Fadli Nik Leh (Bobby Pian), Khalid Jamlus, Sapian Wahid (Rusdi Suparman).

BAHRAIN: Hamad Khalifa Al-Ruwaie, Mohammed Hussain, Aziz Saleh Ahmad, Ghazi Majed Al-Kuwarie, Sayed Mahmood Jalal, Mohammed Jaafar Ali (Hussain Ali Ahmed), Faisal Aziz Rashed, Talal Yusuf (Mohammed Salmain), Salman Isa Ghuloom, Rashed Al-Dosery, Mohammed Salman
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0622&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bfL0bwaj

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan