Sabtu, 18 Mac 2017

Aksi awal yang meyakinkan


 

 ARKIB : 23/06/2001
KETUA pasukan India, Jo Paul Ancheri (tengah) cuba melarikan bola sambil melepasi pemain bawah 23 Malaysia, D. Surendran (kiri) pada perlawanan kumpulan B Pestabola Merdeka ke-37 di Stadium Shah Alam semalam. Pasukan bawah 23 Malaysia menang 2-1. - Gambar ASWAD YAHYA.

Oleh JOHARI SHAWAL dan A. JAILANI ABDULLAH
PASUKAN bawah 23 Malaysia menunjukkan persembahan meyakinkan apabila mencatat kemenangan 2-1 ke atas India dalam aksi pertamanya pada Pestabola Merdeka 2001 kumpulan B di Stadium Shah Alam, semalam.

Skuad Allan Harris menguasai 10 minit pertama permainan di hadapan kira-kira 10 ribu penonton tetapi mula kehilangan rentak permainan kepada India yang dikecewakan oleh kegagalan penyerangnya menepati sasaran.

Penyerang, Nizaruddin Yusof menggamatkan stadium apabila sepakan kencangnya dari hujung kawasan gol tepat kepada penjaga gol lawan, Virendra Singh pada minit kelapan.

Terkejut dengan asakan garang tuan rumah, India beransur-ansur mendapat corak permainan yang menyaksikan pertahanan Malaysia yang diterajui oleh pemain kelayakan Piala Dunia, Norhafiz Zamani Misbah dipaksa bekerja keras menghalang gerakan penyerang, Hardeep Singh dan T. M. Vijayan.

Skuad negara hanya berupaya kembali kepada rentak asal pada baki lima minit terakhir babak pertama permainan untuk memecah kebuntuan gol.

Ketua pasukan, Hairuddin Omar nyaris menanduk masuk hantaran lintang rendah Mohd. Shukor Adan dari kanan pada minit ke-40 selepas pemain tengah itu mencuri bola daripada pertahanan India.

Aksi garang skuad negara berterusan selepas rehat untuk mendapat gol pertama menerusi Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-46.

Jaringan berpunca daripada hantaran Nizaruddin dari tengah dan Indra menewaskan dua pertahanan lawan sebelum membuat sepakan dari sudut sukar untuk melepasi kawalan Virendra.

Jaringan itu mengejutkan India yang bangkit dengan dua serangan bahaya berturut-turut. Percubaan pertama menerusi sepakan Jules Alberto pada minit ke-48 yang tersasar walau pun pintu gol terbuka sebelum Vijayan menyaksikan tandukannya ditepis keluar oleh penjaga gol, Kamarulzaman Hassan pada minit ke-54.

Hanya lima minit kemudian, skuad negara hampir menambah gol tetapi gerakan 1-2 Hairuddin dengan Shukor dikecewakan oleh penjaga gol lawan yang menolak keluar sepakan kencang tonggak di bahagian tengah itu.

Kubu India terus tertekan pada minit ke-67 apabila sepakan lintang Indra ditanduk kencang oleh Nizaruddin, tetapi tepat kepada penjaga gol.

Serangan bertali arus skuad negara membuahkan hasil apabila Nizaruddin melayangkan badan untuk menanduk masuk gol kedua hasil hantaran lintang Hairuddin pada minit ke-74.

Ketinggalan 2-0 tidak membuatkan India berputus asa ketika skuad Harris nampak sudah selesa. Lawan, yang dibimbing oleh Sukhvinder Singh akhirnya berhasil merapatkan jurang gol menerusi sepakan kencang Jules dari hujung kawasan gol pada minit ke-85.

Sementara itu, Uzbekistan menumpaskan pasukan bawah 23 Thailand 1-0 pada perlawanan terdahulu menerusi jaringan Hamidullaev Bakhtiyor minit ke-69
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0623&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bfWooAno

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan