Sabtu, 18 Mac 2017

Barisan sama dikekalkan

ARKIB : 23/06/2001
JURULATIH kebangsaan, Norizan Bakar yakin barisan pemain yang sama mampu bangkit untuk mencari kemenangan pertama apabila menentang Slovakia dalam Pestabola Merdeka malam ini sekalipun gagal dalam ujian pertama menentang Bahrain, kelmarin.

Norizan berkata, para pemain pasukannya memberikan persembahan yang positif walau pun tewas 4-2 kepada Bahrain dalam aksi sulung mereka di Stadium Shah Alam, kelmarin.

``Kami akan mengekalkan barisan pemain yang sama apabila menentang Slovakia esok (hari ini).

``Mereka telah menampakkan persefahaman terutama ketika melakukan gerakan dan mengumpan bola serta mampu melakukan serangan,'' kata Norizan mengulas tindakannya mengekalkan kesebelasan utama untuk perlawanan malam ini.

Beliau juga berpuas hati dan menganggap anak-anak buahnya lulus dalam aksi pertama kelmarin tetapi mengingatkan pemain agar tidak mengulangi kesilapan serupa.

Malaysia mendahului Bahrain 2-1 pada awal babak kedua menerusi jaringan Ghani Malek pada minit ke-25 dan Gilbert Cassidy Gawing minit ke-52, tetapi kealpaan dalam baki 20 minit permainan membenarkan Bahrain mengutip mata penuh menerusi jaringan hatrik Hussein Ali Ahmed.

Norizan bagaimanapun kehilangan khidmat pemain sayap, Nik Ahmad Fadli Che Leh yang mengalami kecederaan di pergelangan kaki kanan.

``Kita perlu menang dengan Slovakia. Tidak ada pilihan kerana jika kalah peluang tertutup terus,'' Norizan mengingatkan pasukannya.

Beliau tidak nampak mengapa sasaran itu tidak boleh dicapai.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0623&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bfYIo1mv

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan