Sabtu, 18 Mac 2017

Kurang cergas punca kalah

ARKIB : 23/06/2001
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
PEMAIN kurang cergas merupakan antara punca yang meragut tiga mata dari tangan skuad kebangsaan sehingga kecundang 2-4 kepada Bahrain dalam perlawanan bola sepak Pestabola Merdeka di Shah Alam, kelmarin.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, kecergasan para pemain negara yang sekadar bertahan selama 70 minit sekali gus telah dimanfaatkan lawan untuk menyumbat tiga gol.

``Saya sedih dengan kekalahan ini kerana saya yakin kita boleh menang sehinggalah minit ke-70, skuad negara didapati tidak berdaya menahan asakan balas Bahrain gara-gara kepenatan,'' katanya.

Skuad bimbingan Norizan Bakar itu mampu meraih kemenangan apabila mendahului 2-1 menerusi Ghani Malik dan Gilbert Cassidy Gawing tetapi tertewas dengan hatrik Hussain Ali Ahmed dalam 20 minit terakhir.

Menurut beliau, skuad negara sepatutnya menampilkan tahap kecergasan yang tinggi apatah lagi berdepan dengan Bahrain yang terbukti berada dalam kelas lebih tinggi kerana mampu mara ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia.

Tengku Abdullah ditemui pada majlis penyerahan 800 bola Adidas kepada para peserta program pembangunan kejurulatihan `Sentuhan Sulung' anjuran Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) di padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Kuantan, semalam.

Seramai 30 guru dari sekolah terpilih di setiap daerah di Pahang, menyertai program ini di bawah kendalian Pengarah Penjaga Gol Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Holger Obermann dari Jerman. Turut terlibat ialah dua jurulatih tempatan, Nazri Mohd. Noor dan Fuzzeimi Ibrahim.

Tengku Abdullah menegaskan: ``Dalam tahap persaingan seperti Pestabola, skuad negara patut memiliki kecergasan 110 peratus terutama dalam menyaingi lawan yang berkemahiran tinggi.

``Beberapa pemain negara saya lihat tidak bermain di tahap sebenar kemampuan mereka. Ada juga yang kurang konsisten tetapi gagal menyerlah,'' katanya.



Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0623&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4bfZmEFHs

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan