Sabtu, 18 Mac 2017

Masih lagi tersungkur


 

ARKIB : 24/06/2001
Masih lagi tersungkur
KETUA pasukan Malaysia, Ahmad Shahrul Azhar (tengah) bergelut dengan pemain Slovakia, Mario Breska sambil diperhati oleh Bobby Pian sewaktu perlawanan kumpulan A Pestabola Merdeka di Stadium Shah Alam, semalam. Slovakia menang 2-0. - Gambar ASWAD YAHYA.

Oleh JOHARI SHAWAL dan A. JAILANI ABDULLAH
PELUANG Malaysia untuk ke separuh akhir Pestabola Merdeka 2001 tertutup rapat apabila mencatat kekalahan kedua pada perlawanan Kumpulan A selepas tewas 2-0 kepada Slovakia di Stadium Shah Alam, semalam.

Selepas tewas 4-2 kepada Bahrain pada perlawanan pertama Khamis lalu, pasukan bimbingan Norizan Bakar kurang bertenaga untuk mengekang aksi pantas Slovakia yang memperoleh jaringan menerusi Mario Breska minit ke-19 dan 42.

Perlawanan ketiga menentang Bosnia esok cuma pelengkap jadual selain cuba mengejutkan pasukan negara Balkan itu yang telah pun layak ke separuh akhir.

Skuad negara beraksi gugup terutama pada babak pertama yang memudahkan Slovakia meratah benteng pertahanan.

Corak permainan pantas Slovakia nyata mengoyak susunan barisan pertahanan dan benteng Malaysia dihukum dengan jaringan pertama pasukan pelawat pada minit ke-19.

Kesilapan Khairil Zainal di depan kotak penalti diambil kesempatan Breska untuk mudah menolak bola masuk ke gawang ketika Azmin Azram cuba keluar menyelamatkan keadaan.

Tersentak dengan jaringan mudah itu, Malaysia menyusun semula gerakan tetapi dua sepakan percuma yang diperoleh minit ke-20 oleh Gilbert Cassidy Gawing dan minit 36 oleh Rosdi Talib gagal membocori gawang yang dikawal penjaga gol tinggi lampai Slovakia, Ivan Trabalik.

Slovakia yang kerap menyerang berjaya menggegarkan sekali lagi gawang Malaysia tetapi jaringan Stamislav Sestak minit ke-22 tidak dikira kerana pemain itu berada pada kedudukan ofsaid.

Begitupun, pasukan Griga Stanislav terus melancarkan serangan bertubi-tubi ke kubu Malaysia dan gol kedua hadir hasil gerakan solo dari sebelah kanan Breska yang berjaya melepasi tiga pertahanan negara sebelum melorongkan bola pada sudut sukar, menewaskan sekali lagi Azmin.

Peluang terbaik skuad negara untuk menghasilkan gol hadir minit ke-26 apabila Khalid Jamlus melencongkan cantik bola ke tengah tetapi Sapian Wahid yang tidak dikawal di depan gol menanduk bola melepasi palang gol.

Ketua pasukan, Ahmad Shahrul Azhar seharusnya menjaringkan gol pertama apabila percubaan leretnya pada minit ke-47 berjaya menewaskan Trabalik tetapi bola yang meleret ke gawang pantas dikeluarkan pertahanan Slovakia.

Sementara itu, Bosnia-Herzegovina muncul pasukan pertama menempah tempat ke separuh akhir selepas memastikan kemenangan 1-0 ke atas Bahrain dalam perlawanan kumpulan sama.

Almin Kulenovic menjadi wira apabila menjaringkan gol kemenangan buat Bosnia, yang masih segar dengan kejayaan 1-0 ke atas Slovakia Khamis lepas menerusi tandukan seawal minit ketiga
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0624&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bfbMvHri

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan