Sabtu, 18 Mac 2017

Kelalaian risaukan Harris

ARKIB : 24/06/2001
KEALPAAN pada tempoh suku jam terakhir tidak harus berlaku lagi pada skuad bola sepak bawah 23 kebangsaan apabila turun menentang Uzbekistan pada perlawanan kedua Kumpulan B Pestabola Merdeka 2001 di Stadium Shah Alam, malam ini.

Apatah lagi, Uzbekistan lebih mantap berbanding India biarpun pasukan negara Balkan itu tidak membawa pemain kebangsaan sepenuhnya pada kejohanan ini.

Kemenangan tipis 1-0 ke atas pasukan bawah 23 Thailand Khamis lalu membuktikan Uzbekistan adalah pencabar utama skuad negara, selain Thailand yang jelas memiliki sentuhan pasukan kebangsaan mereka.

``Saya tidak risau dengan barisan depan pasukan kita tetapi bimbang pada 10 atau 20 minit terakhir permainan.

``Saya percaya barisan serangan kita mampu mencari gol tetapi pertahanan nampak goyah apabila kita berada di depan. Itulah yang merisaukan saya,'' kata jurulatih negara dari England, Allan Harris.

Skuad negara gagah apabila mendahului 2-0 menerusi jaringan Indra Putra Mahayuddin minit seawal minit pertama babak kedua dan Mohd. Nizaruddin Yusof (74).

Bagaimanapun, kedudukan selesa itu menjadikan skuad negara agak lalai dan India yang memiliki taktikal permainan pantas dengan hantaran-hantaran bola tepat, menghukum benteng Malaysia dengan jaringan Jules Alberto minit ke-85.

``Keputusan itu sebenarnya meletakkan kedudukan pasukan ini sama dengan pasukan lalu. Mereka hilang tumpuan dan memboloskan gol,'' tambah Harris.

Begitu pun, Harris masih menanam yakin mampu mengatasi Uzbekistan biarpun pasukan lawan itu memiliki fizikal lebih baik berbanding skuad negara.

``Cuma kita mungkin mampu mengatasi mereka dari segi taktikal dan teknikal. Ia terserah kepada semua pemain. Mereka sudah diberi pelajaran dan inilah masa bagi mereka mempraktikkannya terutama pada perlawanan besar ini,'' katanya.

Uzbekistan kini di tangga kedua di belakang Malaysia, berkongsi tiga mata menerusi gol tunggal Bakhtiyor Hamidullaev.

``Kita perlu mencatat sekurang-kurangnya keputusan seri dengan Uzbekistan. Jika menang, ia adalah satu suntikan semangat paling besar bagi kita sebelum menghadapi seteru utama yang sebaya, Thailand,'' kata Harris.

Pasukan bawah 23 negara menjadi pilihan untuk merangkul pingat emas acara bola sepak Sukan SEA XXI Kuala Lumpur, September ini, kali pertama temasya serantau itu menganjurkan acara bola sepak di bawah umur 23 tahun.

Thailand, yang menguasai emas acara bola sepak dalam lima Sukan SEA berturut-turut, turut menguji pasukan bawah 23 mereka pada Pestabola Merdeka edisi ke-37 ini.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0624&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bfcNsapD

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan