Sabtu, 18 Mac 2017

B-23 dikecewakan


 

ARKIB : 25/06/2001
B-23 dikecewakan
KETUA pasukan Bawah-23 Malaysia, Khairuddin Omar (tengah) melonjak untuk mengambil bola hantaran tinggi bersama pemain Uzbekistan, Asror Alikov (kanan) dan Alexander Khvospunov pada perlawanan kumpulan B Pestabola Merdeka di Stadium Shah Alam, semalam. Malaysia kalah 2-0. - Gambar ASWAD YAHYA.

Oleh JOHARI SHAWAL dan A. JAILANI ABDULLAH
UZBEKISTAN yang bermain dengan 10 orang menyempitkan peluang skuad Malaysia Bawah-23 apabila menang 2-0 dalam Pestabola Merdeka kumpulan B di Stadium Shah Alam, semalam.

Kemenangan itu meletakkan Uzbekistan, yang menang 1-0 ke atas Thailand pada perlawanan sulungnya Jumaat lepas, di tangga teratas kumpulan dengan enam mata sekali gus pada kedudukan selesa untuk ke separuh akhir.

Kekalahan skuad Bawah-23 memerlukan mereka menang dengan skuad Sukan SEA Thailand dalam perlawanan terakhir Selasa ini.

Uzbekistan menguasai permainan babak pertama untuk memaksa skuad negara menguji barisan pertahanan mereka dengan serangan balas dan hantaran jauh gaya bola sepak Inggeris.

Skuad Allan Harris nyaris mencipta jaringan gol awal apabila ketua pasukan, Hairuddin Omar membuka ruang untuk K. Rajan tetapi sepakan sayap kanan itu dari dalam kotak penalti melepasi palang gol.

Hairuddin turut melakukan kesilapan serupa pada minit ke-30 setelah mendapat hantaran cantik daripada Subri Sulong, yang kehilangan rakan di bahagian tengah, Shukor Adan dan D. Surendran akibat kecederaan.

Pertahanan skuad negara benar-benar diuji sepanjang separuh pertama dengan serangan bertali arus barisan depan Uzbekistan yang nyata buntu dalam usaha mencari ruang untuk meloloskan diri.

Aksi garang skuad negara memulakan permainan lebih hebat pada babak kedua dengan Hairuddin mempunyai peluang terbuka untuk menghasilkan gol sulung perlawanan, namun sepakannya keluar.

Ketika skuad muda Harris ghairah melancarkan serangan tetapi buntu mencari sentuhan gol, mereka dikejutkan oleh sepakan kencang Andrey Vlasichev berhampiran garisan gol yang menerjah masuk ke sudut kiri gawang skuad B-23.

Uzbekistan nyaris mendapat gol kedua apabila sepakan Anvarjon Soliev ditepis oleh penjaga gol, Kamarulzaman Hassan sebelum terkena palang.

Namun, ketangkasan Kamarulzaman roboh pada minit ke-71 apabila Leonid Koshelev membuat larian solo ke dalam kawasan gol dan menewaskan pertahanan, S. Jayaprakash untuk gol kemenangan pasukannya
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0625&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bffKZqOl

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan