Sabtu, 18 Mac 2017

Pestabola Merdeka semakin layu

ARKIB : 25/06/2001
BILA mengingatkan Pestabola Merdeka yang lalu, sesekali teringat juga dengan nama-nama pemain handalan seperti penyerang lincah Jepun, Kamamoto, Cha Bum Keun dari Korea Selatan atau Raad Hamoudi dari Iraq.

Dan kita juga tidak akan lupa dengan sentuhan cemerlang penjaga gol, Ahmad Tarabulsi dari Kuwait yang mempunyai dua kehebatan di Stadium Merdeka bermain bola dan memperdengarkan bacaan al-Quran dalam majlis tilawah.

Mungkin kita juga boleh mengingati kehebatan seorang lagi penyerang tinggi lampai Korea Selatan, Kim Jae-Han atau pemain handalan Indonesia, Ronny Patisarani, Fandi Ahmad (Singapura) dan Piyapong Pue-on dari Thailand.

Pemain Terbaik Eropah, Kevin Keegan dari England ketika berada di penghujung kariernya turut sempat beraksi dalam Pestabola bersama skuad Harimau.

Malaysia juga tidak kurang hebat dengan nama-nama pemain seperti Saharuddin Abdullah, Namat Abdullah, Mokhtar Dahari, James Wong, R. Arumugam dan beberapa nama lainnya di zaman mereka.

Namun Pestabola Edisi ke-37 kali ini nampaknya semakin hambar. Stadium Shah Alam yang boleh menampung 80,000 penonton, hanya dihadiri antara 4,000 hingga 6,000 penonton.

Dulu, Stadium Merdeka yang hanya bo-leh menampung 45,000 hampir penuh setiap perlawanan tetapi kini semakin lengang.

Malah, kalau 10 peminat bola sepak yang ditanya secara rambang, berapa pasukan yang bertanding dan namakan pasukan-pasukan yang menyertainya, mungkin hanya dua sahaja daripada mereka yang dapat memberi jawapan yang tepat.

Itulah senario bola sepak negara. Pestabola yang satu ketika mendapat perhatian dunia kini semakin layu.

Banyak faktor yang menjadikan kejohanan itu semakin hambar. Antara lain ia mungkin didorong oleh kedudukan Malaysia yang semakin tercicir dalam peta bola sepak dunia.

Malah kedudukan Stadium Shah Alam yang agak jauh selain tidak memiliki kemudahan pengangkutan awam seperti LRT membuatkan peminat berfikir dua kali untuk ke sana.

Di sebalik faktor-faktor itu, kita kini tidak lagi mampu untuk mengundang pasukan-pasukan seperti Korea Selatan, Jepun, Arab Saudi, Iraq yang kesemuanya mungkin memberi `alasan' terlalu sibuk dengan tugasan kempen kelayakan Piala Dunia 2002.

Mereka nampaknya semakin menjauhkan diri daripada kita kerana merasakan `kelas' yang berbeza.

Lebih memburukkan lagi keadaan ialah kurangnya promosi.

Peminat bola sepak sekarang menuntut permainan yang bermutu selain yang boleh menghiburkan.

Bayangkanlah satu perlawanan di Stadium Darulmakmur baru-baru ini berjaya menarik kehadiran kira-kira 60,000 penonton meskipun ia hanya menampilkan satu perlawanan yang membabitkan personaliti radio.

Jadi, dimanakah letaknya kehebatan pasukan negara kalau hanya 6,000 penonton sahaja yang hadir melihat aksi mereka.

Nampaknya, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kenalah memikirkan sesuatu untuk menyerikan kembali Pestabola yang dirasakan semakin `tenat' selain berusaha `mengubati' kemerosotan pasukan negara.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0625&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4bfh5Zwtl

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan