Sabtu, 18 Mac 2017

Hidup atau mati B-23

ARKIB : 26/06/2001
Oleh JOHARI SHAWAL
HANYA satu lagi tempat menjadi rebutan dan pasukan bawah 23 kebangsaan tidak punya pilihan selain mencatat kemenangan pada perlawanan hidup atau mati menentang rakan sebaya, Thailand pada perlawanan terakhir kumpulan B Pestabola Merdeka 2001 di Stadium Shah Alam malam ini.

Kekalahan akan menyaksikan Thailand mara ke separuh akhir mengiringi Uzbekistan dan mengikut jejak pasukan senior kebangsaan yang telah awal-awal lagi tersingkir pada kejohanan yang dianggap berprestij satu ketika dulu.

Hanya pasukan bawah 23 kebangsaan ini mampu memulihkan imej negara yang semakin tercalar apatah lagi maruah selaku naib juara kejohanan lalu harus dipelihara.

Malah, reputasi sebenar skuad bimbingan jurulatih England, Allan Harris ini akan terserlah jika gagal mengatasi Thailand, pasukan yang dibimbangi mampu merampas pingat emas yang diidamkan Malaysia pada Sukan SEA XXI Kuala Lumpur, September ini.

Begitupun, sukar diramal keputusan perlawanan malam ini biarpun Malaysia dianggap pilihan utama memandangkan sebahagian besar pemain dalam pasukan ini turut membintangi pasukan kebangsaan berbanding Thailand.

Jika dilihat kepada keputusan peringkat kumpulan dalam kejohanan ini, Thailand dilihat lebih gagah. Mereka menumbangkan India 2-0, jumlah jaringan sama dengan Malaysia tetapi skuad negara memboloskan satu gol.

Malaysia pula tewas 2-0 kepada Uzbekistan tetapi Thailand hanya membenarkan satu gol membolosi gawangnya. Di sini jelas, pertahanan Thailand lebih kental berbanding pasukan Harris ini.

``Itulah yang sentiasa merisaukan saya. Kemenangan 2-1 ke atas India dan kekalahan 2-0 kepada Uzbekistan jelas mencerminkan kegoyahan barisan pertahanan. Mereka sentiasa leka dan gagal menumpukan perhatian terutama selepas setengah jam permainan.

``Saya amat berharap keadaan seumpama itu tidak lagi berulang pada pertemuan dengan Thailand ini. Pasukan itu biarpun tanpa bintang, mereka memiliki sifat seperti mana pasukan kebangsaan mereka,'' kata Harris.

Harris kemungkinan besar akan mengekalkan barisan utamanya dengan Mohd. Nizaruddin Yusof dan Hairuddin Omar terus memainkan peranan memburu gol manakala Subri Sulong dan Juzaili Samion mengetuai jentera tengah.

Tidak diketahui apakah Harris bakal mengubah barisan pertahanannya tetapi Norhafiz Zamani Misbah dan Mohd. Nizam Jamil bakal kekal di posisi masing-masing.

Kedudukan S. Jayaprakash, yang menjadi ejekan penonton atas kesilapannya di barisan kanan pertahanan yang seringkali berjaya dibolosi pemain Uzbekistan tempoh hari, berada dalam situasi tidak menentu ketika ini biarpun Harris lebih menanam percaya kepada pemain itu.

Apa pun, apa sahaja percaturan yang dibuat Harris, skuad negara tidak harus mencatat kekalahan kepada Thailand kerana ia mampu merencatkan sasaran meraih emas pada Sukan SEA nanti.

Selain itu, kemenangan dirasakan amat perlu untuk meraih sokongan penonton yang semakin menunjukkan rasa tidak berminat dengan bola sepak Malaysia
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0626&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bfirgSby

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan