Sabtu, 18 Mac 2017

Malaysia ikat Bosnia

ARKIB : 26/06/2001
MALAYSIA menutup kempen Pestabola Merdeka edisi ke-37 dengan nota agak ceria selepas berjaya mengikat Bosnia 2-2 pada perlawanan terakhir kumpulan A yang tertangguh lebih sejam akibat hujan lebat sebaik tamat babak pertama permainan di Stadium Shah Alam, semalam.

Selepas kira-kira satu jam 15 minit menunggu, babak kedua diteruskan dalam keadaan padang becak dan ditakungi air sehingga Malaysia memboloskan gol pertama Bosnia sebaik tiga minit permainan dimulakan.

Gol pembukaan Bosnia hasil jaringan sendiri pemain pertahanan skuad negara, Mohd. Imran Ahmad yang tertolak masuk bola hantaran penyerang Bosnia, Vedran Pelic.

Penyerang, Rusdi Suparman menolak masuk gol penyamaan pada minit ke-70 setelah menyambar hantaran silang Tuan Kamree Tuan Yahya tetapi Bosnia kembali di depan empat minit kemudian menerusi jaringan ketua pasukan, Enes Mesanovic.

Begitupun, kesilapan penjaga gol Bosnia pada minit ke-83 apabila cuba menampan keluar sepakan kencang Mohd. Ali Taha disambar Ahmad Shahrul Azhar untuk mengikat kedudukan 2-2.

Keputusan itu meletakkan Bosnia selaku juara Kumpulan A dengan tujuh mata selepas dan akan bertemu naib juara kumpulan B sama ada Uzbekistan atau pemenang antara pasukan bawah 23 Malaysia dan Thailand, pada separuh akhir Khamis ini.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0626&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bfjRjMcu

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan