Sabtu, 18 Mac 2017

B-23 penebus maruah


 

ARKIB : 27/06/2001
PEMAIN bawah 23 Malaysia, S. Jayaprakash (no. 3) meraikan kejayaan menjaringkan gol pertama ke atas Thailand pada saingan kumpulan B Pestabola Merdeka 2001 di Stadium Shah Alam, semalam. Malaysia menang 2-1 untuk mara ke separuh akhir. - Gambar ASWAD YAHYA.

Oleh A. JAILANI ABDULLAH
PEMAIN gantian, K. Rajan menjadi wira apabila menyempurnakan sepakan percuma pada minit terakhir untuk membawa skuad Malaysia Bawah 23 melangkah ke perlawanan separuh akhir Pestabola Merdeka dengan kemenangan 2-1 ke atas musuh ketat, Thailand di Stadium Shah Alam, semalam.

Selepas mendahului 1-0 menerusi S. Jayaprakash pada babak pertama, Thailand menyamakan kedudukan pada pertengahan kedua, namun Rajan memastikan skuad Bawah 23 negara keluar selaku pemenang di hadapan kira-kira 18 ribu penonton yang mengiringi langkah mereka dengan sorakan dan paluan gendang.

Kemenangan itu memastikan skuad Bawah-23 negara mengiringi Uzbekistan ke separuh akhir dari kumpulan B. Malaysia akan menentang juara kumpulan A, Bosnia sementara naib juara kumpulan B, Uzbekistan akan bertemu Bahrain selaku naib juara kumpulan B.

Gol yang dicari-cari oleh skuad negara hadir pada minit ke-33 menerusi sepakan jarak jauh pertahanan, Jayaprakash.

Jaringan berpunca daripada sepakan sudut yang cuba dikeluarkan oleh pemain Thailand dari dalam kawasan bahaya, tetapi dapat kepada Jayaprakash yang merembat kencang dari jarak 25 meter.

Bola terkena pertahanan Thailand menyebabkan penjaga golnya, Umarin Yaodam terkeliru dan bola menggolek masuk ke sudut kiri gawangnya.

Thailand yang nyata tertekan mula beraksi kasar menyebabkan enam pemainnya dilayangkan kad kuning sementara tiga pemain negara dikenakan amaran yang sama termasuk Hairuddin yang mengutip kad kuning kedua selepas kali pertama ketika menang 2-1 ke atas India.

Selepas berkali-kali membuat percubaan dari jarak jauh, nasib akhirnya menyebelahi Thailand apabila dihadiahkan sepakan sudut pada minit ke-75. Penyerangnya, Wuttiya Yongant menyempurnakan hantaran Dussagon Tonglao dengan tandukan yang sama sekali tidak mampu dicabar oleh Kamarulzaman.

Bagaimanapun Rajan membalas kepercayaan Harris dengan menyumbat gol kemenangan pada minit ke-84 menerusi sepakan percuma yang cantik dari jarak kira-kira 25 meter untuk gol kedua negara
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0627&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bfkQtZNF

Sumber-© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan