Sabtu, 18 Mac 2017

Kontrak Harris dilanjutkan setahun lagi

ARKIB : 27/06/2001
BELUM pun tamat aksi dalam Pestabola Merdeka 2001, jurulatih pasukan bawah 23 kebangsaan, Allan Harris menerima perkhabaran gembira apabila kontraknya dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dilanjutkan setahun lagi, lapor JOHARI SHAWAL.

Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengesahkan kedudukan Harris itu dalam satu sidang akhbar di Shah Alam, semalam.

Menurut Tengku Abdullah, prestasi yang ditunjukkan Harris sepanjang pengendaliannya melatih pasukan bawah 19 tahun, pasukan kebangsaan dan kini skuad bawah 23 kebangsaan menarik perhatian Ahli Majlis FAM untuk mengekalkan kedudukan jurulatih dari England itu.

``Persetujuan mengekalkan Harris dicapai dalam satu mesyuarat Majlis FAM,'' kata Tengku Abdullah selepas majlis menandatangani perjanjian penajaan antara Adidas dengan pasukan kebangsaan, semalam.

Harris, 59, mula berbakti dalam bola sepak Malaysia pada Oktober 1999 dan membimbing pasukan bawah 19 tahun kebangsaan.

Beliau kemudian mengambil tempat Abdul Rahman Ibrahim sebagai jurulatih pasukan senior kebangsaan pada Januari 2001 apabila kontrak Rahman tamat.

Kontrak Harris dijadual tamat selepas berakhir Sukan SEA XXI Kuala Lumpur, September ini.

Kelayakan Piala Dunia 2002 Kumpulan Tiga Asia, Mac lalu merupakan tugasan pertama Harris membawa pasukan kebangsaan.

Bagaimanapun, pasukannya menamatkan kelayakan yang berlangsung di Hong Kong dan Qatar itu di tempat ketiga di belakang Qatar dan Palestin.

Pasukannya hanya mencatat dua kemenangan pada dua pusingan kelayakan itu - menang 2-0 ke atas Hong Kong dan 4-3 ke atas Palestin.

Harris kini sedang mengharung nasib bersama pasukan bawah 23 Malaysia dalam Pestabola Merdeka 2001.

Tugasan terbesarnya selepas ini adalah memastikan Malaysia merangkul pingat emas pada temasya Sukan SEA September ini, yang mana acara bola sepak buat pertama kali diadakan bagi peringkat bawah 23 tahun.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0627&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bflBRKNq © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan