Sabtu, 18 Mac 2017

Semangat sahaja belum cukup - Separuh akhir - Bawah 23 Malaysia lawan Bosnia-Herzegovina

ARKIB : 28/06/2001
Oleh: A. JAILANI ABDULLAH
MEREKA membuktikan semangat tinggi berupaya mengubah nasib, tetapi skuad bawah 23 Malaysia memerlukan lebih daripada sekadar faktor itu apabila bertemu dengan Bosnia-Herzegovina dalam separuh akhir kedua Pestabola Merdeka malam ini.

Harus diakui bahawa skuad bawah 23 negara mara ke separuh akhir berdasarkan semangat tinggi pemain, sehingga membolehkan mereka menewaskan musuh tradisi, Thailand dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan B kelmarin.

Namun, semangat cekal yang dimiliki para pemainnya yang membuatkan jurulatih Bosnia, Arapovic Husnija kelihatan risau sedikit.

``Kelebihan pasukan tuan rumah ialah semangat mereka, apatah lagi bermain di depan para penyokong yang berdiri teguh di belakang,'' katanya di Shah Alam, semalam.

Bosnia juga perlu bimbang dengan keadaan cuaca yang jika berlaku hujan akan menambah kelebihan kepada skuad tuan rumah.

Bosnia telah mengalami pengalaman betapa peritnya bermain di dalam hujan pada peringkat kumpulan bertemu pasukan senior Malaysia.

Mereka mendahului 2-0 ketika permainan berbaki kira-kira 20 minit sahaja lagi apabila Malaysia membalas dengan dua gol untuk mencatat keputusan seri.

Sementara itu, jurulatih bawah 23 Malaysia, Allan Harris menanam keyakinan bahawa peluang untuk mencipta kejutan tetap ada walaupun mengakui pasukan lawan lebih kuat.

``Pemain-pemain saya telah berusaha kuat dan saya percaya setiap pasukan mempunyai peluang,'' katanya, yang kehilangan ketua pasukan Hairuddin Omar akibat menerima dua kad kuning.

Hairuddin dari Terengganu, menerima kad kuning pertama ketika menentang India dan yang kedua dalam perlawanan dengan Thailand.

Harris bagaimanapun masih mempunyai pilihan untuk mengisi kekosongan Hairuddin, pemain paling berpengalaman dalam skuadnya selain penyerang Nizaruddin Yusof.

Hairuddin adalah pemain serba boleh yang pada mulanya diletakkan di posisi sayap kanan sebelum kembali ke kedudukan penyerang apabila K. Rajan dimasukkan pada separuh masa kedua perlawanan kelmarin.

Selain Rajan, penjaring gol kemenangan ke atas Thailand, Harris juga boleh meletakkan D. Surendran yang diakui mempunyai kebolehan mengambil sepakan percuma.

Namun, selepas persembahan cemerlang Rajan, tempat itu boleh dikatakan terjamin buatnya.

Posisi penyerang pula sudah pasti menjadi milik Nizaruddin dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang beraksi dari awal permainan pertama buat kali pertama kelmarin.

Ia membuktikan pemain itu sudah pulih sepenuhnya dari kecederaan hamstring yang dialaminya sejak di Perancis.

Bahagian pertahanan pula akan memikul tugas berat untuk mengekang pemain hadapan Bosnia, Mirsad Beslija.

Namun, di sebalik semua itu, satu perkara terlebih dahulu perlu dikikis daripada minda pemain negara iaitu cepat berpuas hati dan lalai apabila berjaya menjaringkan gol pendahuluan seperti yang disaksikan ketika menentang India dan kemudian Thailand.

Sementara itu, satu lagi perlawanan ialah di antara juara kumpulan B, Uzbekistan dengan Bahrain.

Uzbekistan menjadi pasukan tunggal memenangi ketiga-tiga perlawanan di peringkat kumpulan selain hanya dibolosi satu gol ketika menewaskan India sementara Bahrain, naib juara kepada Bosnia akan menggunakan kelebihan kemahiran kawalan bola untuk mencari peluang menundukkan lawan.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0628&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bflqxxpv

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan