Sabtu, 18 Mac 2017

Bosnia pamer kegarangan


 

ARKIB : 29/06/2001
PEMAIN Bosnia-Herzegovina, Velimir Brasnic tersungkur selepas diasak oleh pemain pasukan bawah 23 Malaysia, Indra Putra Mahayuddin pada perlawanan separuh akhir Pestabola Merdeka di Stadium Shah Alam, semalam. Bosnia menang 2-0. - Gambar ASWAD YAHYA.

Oleh: JOHARI SHAWAL dan A. JAILANI ABDULAH
PASUKAN Bawah 23 Kebangsaan harus dibanggakan apabila memberi tentangan sengit kepada pasukan lebih gagah, Bosnia-Herzegovina biarpun akhirnya gagal melangkah ke perlawanan akhir selepas tunduk 2-0 dalam saingan separuh akhir Pestabola Merdeka 2001 di Stadium Shah Alam, semalam.

Kelekaan barisan pertahanan dalam tempoh sepuluh minit pada babak pertama permainan menyaksikan Bosnia memperoleh dua gol menerusi rembatan Jasmin Huric minit ke-11 dan tandukan Almin Kulenovic minit ke-19.

Kemenangan Bosnia yang dibarisi sebahagian besar pemain kelayakan Piala Dunia Zon Eropah itu ke perlawanan akhir bertemu Uzbekistan malam esok.

Buat pertama kali, gemaan paluan kompang dan gendang, laungan `Malaysia, Malaysia, Malaysia'' serta ``Mexican Wave'' oleh kira-kira 35,000 penonton, menggamatkan Stadium Shah Alam sebaik pemain negara masuk ke padang dan memulakan permainan.

Begitupun, sorakan terhenti seketika seawal minit ke-11 apabila Bosnia membuka jaringan menerusi rembatan leret padu Huric hasil kesilapan pertahanan, S. Jayaprakash yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Namun, penyokong tuan rumah tidak berbelah bahagi setiap kali anak buah Allan Harris ini melancarkan serangan tetapi sebaliknya, aksi pantas Bosnia menambah tekanan barisan negara.

Usaha pasukan dari negara Balkan itu berhasil dan sekali lagi, kegagalan barisan pertahanan Malaysia yang tidak membuat kawalan `man to man' mengundang padah apabila pemain pertahanan Almin Kulenovic menanduk masuk gol kedua hasil sepakan sudut Nermin Sabic minit ke-19.

Pasukan negara tidak berputus asa dan berusaha memburu jaringan menerusi rangkaian tengah, Subri Sulong dan ketua pasukan, Mohd. Shukor Adan. Tetapi agak sukar untuk melepasi kawasan penalti Bosnia yang dikawal baik barisan pertahanannya.

Pergerakan penyerang Akmal Rizal Rakhli dan Mohd. Nizaruddin Yusof begitu terbatas biarpun sekali sekala berjaya meloloskan diri tetapi pertahanan Bosnia yang diketuai Almin lebih kental.

Ketiadaan ketua pasukan sebelum ini, Hairuddin Omar yang digantung satu perlawanan akibat dua kad kuning, jelas begitu dirasai pasukan negara.

Malaysia hanya bergantung kepada serangan balas pantas dalam usaha memburu jaringan ketika Bosnia menguasai babak kedua permainan. Bintang Bosnia, Mirsad Beslija nyata begitu licik dan kerap menghuru-harakan benteng negara.

Babak awal separuh masa kedua hampir memberi gol pertama pasukan negara apabila Akmal berjaya melepasi sebelah kiri kawasan Bosnia tetapi bola hantaran sekadar melintasi depan gawang lawan.

Begitupun, aksi pasukan negara meyakinkan apabila berjaya menggugat benteng Bosnia dengan gerakan-gerakan menarik dari sebelah kiri dan kanan tetapi masih gagal menemui sentuhan penyudah.

BOSNIA-HERZEGOVINA:

Romeo Mitrovic, Almin Kulenovic, Sasa Papac, Jasmin Huric, Mirsad Beslija (Vedran Pelic), Nermin Sabic, Srdan Pecelj, Nedim Halilovic (Enes Mesanovic), Karic Denis, Velimir Brasnic (Emir Granov), Dalibor Silic.

B-23 MALAYSIA:

Kamarulzaman Hassan, Norhafiz Zamani Misbah, Mohd. Nizam Jamil, S. Jayaprakash, Abd. Aziz Ismail, Mohd. Shukor Adan, Subri Sulong (Nor Suhaimi Bahauddin), Indra Putra Mahayuddin (Rudie Ramli), K. Rajan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Mohd. Nizaruddin Yusof (Mohd. Fadzli Shaari)
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0629&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bfnSJ1PD

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan