Sabtu, 18 Mac 2017

Penonton hargai B-23

ARKIB : 30/06/2001
ALLAN Harris dan anak buahnya mungkin akur dengan kekalahan kepada Bosnia-Herzegovina tetapi dari segi moral mereka sebenarnya telah meraih sesuatu yang berharga dalam Pestabola Merdeka kali ini.

Ia terbukti apabila para peminat tetap memberikan tepuk sorak kepada pemain-pemain sejurus berakhirnya perlawanan separuh akhir menentang Bosnia kelmarin tamat walaupun pasukan negara kalah 2-0.

Sudah begitu lama peminat bola sepak tempatan tidak berbuat demikian kepada pasukan kebangsaan disebabkan prestasi hambar mereka selama ini.

Malah sudah bertahun lamanya pasukan negara gagal menarik sejumlah besar penyokong menghadiri perlawanan mereka, tetapi kelmarin kira-kira 35,000 penyokong berada di Stadium Shah Alam.

Dan, peminat tidak henti-henti menjerit `Malaysia, Malaysia, Malaysia' walaupun skuad Bawah 23 ketinggalan dua gol. Iringan paluan gendang bermula sebaik sahaja pasukan negara masuk ke padang untuk memanaskan badan.

Ini semua memberi isyarat bahawa kemenangan adalah kepuasan kedua penyokong tetapi persembahan bermutu tinggi skuad negara yang mereka harapkan.

Jurulatih Bosnia, Arapovic Husnija mengucapkan tahniah kepada skuad Bawah 23 kerana telah bermain dengan baik.

``Saya juga mengucapkan tahniah kepada Harris kerana berjaya membimbing pasukan ini menjadi sebuah pasukan yang kuat,'' kata di Shah Alam, semalam.

``Saya yakin pasukan ini boleh pergi lebih jauh satu hari nanti,'' tambah beliau.

Harris pula berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya sepanjang kejohanan kali ke-37 ini.

``Mereka telah bermain dengan baik dalam empat perlawanan sepanjang lapan hari ini,'' katanya.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0630&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bfpbzRNu

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan