Sabtu, 18 Mac 2017

B-23 banyak ruang perlu baiki

ARKIB : 01/07/2001
TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh pasukan bawah 23 Malaysia pada kejohanan bola sepak Pestabola Merdeka.

Bagaimanapun katanya, masih banyak kelemahan yang perlu digilap jika mahu terus dilihat sebagai pasukan gagah ketika turun beraksi menentang lawan di masa hadapan.

Tambah beliau, kelemahan yang paling ketara dapat dikesan adalah di bahagian pertahanan sehingga menyebabkan skuad muda negara itu kerap melepaskan gol mudah.

``Saya akan berbincang dengan Alan Harris mengenai perkara ini dan saya yakin beliau mampu memikirkan cara terbaik mengatasi masalah berkenaan,'' katanya di Kuantan semalam.

Beliau mengulas prestasi skuad bawah 23 Malaysia yang menunjukkan aksi memberangsangkan biarpun gagal melepasi pusingan separuh akhir apabila tewas kepada Bosnia 0-2.

Prestasi yang baik ditunjukkan oleh skuad berkenaan dianggap oleh banyak pihak sebagai permulaan yang memberangsangkan dalam usaha meningkatkan mutu bola sepak negara.

Tengku Abdullah berkata, penentuan sama ada skuad berkenaan akan dikekalkan pada masa hadapan bergantung kepada prestasi yang ditunjukkan pada Sukan SEA XXI Kuaal Lumpur, September ini.

``Sukan SEA merupakan sasaran utama negara dan saya mahu semua pemain menumpukan konsentrasi dan komitmen sepenuhnya,'' katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0701&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4bfqazjzc © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan