Sabtu, 18 Mac 2017

Tugas pemain kita sukar


 

ARKIB : 17/06/2001
SIEH KOK CHI (kiri) melakukan undian acara bola sepak Sukan SEA XXI Kuala Lumpur pada majlis undian di Kuala Lumpur, semalam. - Gambar Aswad Yahya.

Oleh DALLIA DUNSTAN
UNDIAN acara bola sepak Sukan SEA XXI nyata tidak membawa khabar gembira untuk pasukan tuan rumah dan yang nyata Malaysia berdepan ujian getir dalam usaha merampas semula pingat emas yang dimenangi 12 tahun lalu.

Pasukan negara yang kali terakhir memenangi pingat emas ketika menjadi tuan rumah Sukan SEA pada 1989 kini diletakkan dalam kumpulan B bersama Indonesia dan Vietnam.

Dua pasukan lain yang bakal mencabar pasukan negara ialah Brunei dan Filipina.

Berdasarkan undian yang diadakan di Kuala Lumpur semalam laluan pasukan negara kelihatan sukar.

Igauan kekalahan pasukan negara yang memalukan ketika di belasah 6-0 kepada Indonesia di Brunei dua tahun lalu masih segar dalam ingatan selain peningkatan mendadak Vietnam kebelakangan ini.

Filipina, mungkin sebuah negara yang kurang hebat dalam bola sepak tetapi rekod kekalahan Malaysia 0-1 ketika beraksi pada temasya 1991 di Manila sedikit sebanyak mengancam keupayaan pasukan negara.

Malah pasukan negara gagal menempatkan diri ke separuh akhir sejak 1991.

Laluan pemenang pingat emas yang lalu, Thailand kelihatan lebih selesa dalam kumpulan A bersama Kemboja, Laos, Singapura dan Myanmar.

Begitupun acara bola sepak Sukan SEA XXI dipertandingkan mengikut format baru dengan penyertaan pemain bawah 23 tahun.

Sementara itu, jurulatih pasukan negara, Allan Harris berkata, secara keseluruhannya beliau berpuas hati dengan undian itu.

``Saya percaya, pasukan negara mampu memulakan cabaran dengan baik apabila bertemu Brunei dalam perlawanan pembukaan pada 2 September,'' katanya selepas undian.

Harris tidak langsung menampakkan kebimbangan dengan kedudukan pasukan negara dalam undian itu sebaliknya berkata ia hanya undian atas kertas sahaja.

``Bagi saya, pasukan-pasukan kuat bukanlah sesuatu yang perlu difikirkan kerana apa yang penting ialah menyediakan pasukan terbaik untuk mengharungi cabaran,'' katanya.

``Tidak adil untuk saya mengatakan pasukan mana yang lebih baik kerana keutamaan saya pada ketika ini ialah memastikan pasukan negara bersedia sepenuhnya dan beraksi dengan baik pada temasya itu dan saya tidak bimbang mengenai pasukan lain,'' katanya.

Upacara undian itu dirasmikan Setiausaha Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi dan ia dihadiri oleh delegasi dari kedutaan dan Suruhanjaya Tinggi negara-negara yang bertanding.

Selain bola sepak dua lagi acara Sukan XXI _ bola tampar dan pingpong lelaki dan wanita turut diadakan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Dell Akbar Khan berkata, masih terlalu awal untuk meramal peluang skuad negara pada temasya ini.

``Kita tidak tahu sejauh mana kekuatan pasukan lain yang bertanding dan mereka juga tidak mengetahui kekuatan pasukan negara,'' katanya.

Menurut Dell, semua pihak harus memberi peluang kepada pemain-pemain negara untuk membuktikan kemampuan dan mencapai keputusan yang baik.

Acara bola sepak lelaki dijadual berlangsung di Stadium Shah Alam 1 hingga 15 September.

Dalam undian untuk pasukan bola sepak wanita, Malaysia diletakkan dalam kumpulan A bersama Thailand, Filipina dan Myanmar.

Kumpulan B dianggotai oleh Indonesia, Vietnam dan Singapura.

Jurulatih pasukan wanita negara, Jacob Joseph berkata, Malaysia meletakkan sasaran sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir temasya itu.

``Pasukan negara mempunyai peluang untuk mencatatkan keputusan yang lebih baik kerana jurang perbezaan antara pasukan-pasukan yang bertanding tidak jauh berbeza,'' katanya.



Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0617&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bf5JKnEL

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan