Sabtu, 18 Mac 2017

Akmal mantapkan barisan serangan


 

ARKIB : 20/06/2001
AKMAL (kiri) menjalani latihan bersama-sama dua rakan di bahagian serangan skuad Bawah 23, Nizaruddin, dan Hairuddin (kanan) di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam. - Gambar ZULKARNAIN SAIDIN.

Oleh A. JAILANI ABDULLAH
AKMAL Rizal Ahmad Rakhli tetap menjadi pilihan untuk memantapkan barisan skuad bawah 23 negara untuk Pestabola Merdeka meskipun jurulatih, Allan Harris mengesahkan penyerang itu masih belum cergas sepenuhnya akibat kecederaan sewaktu di Perancis.

Menurut Harris, tahap kecergasan Akmal ketika ini tidak merisaukannya kerana pemain yang menimba pengalaman bersama kelab FC Haguenau itu masih mempunyai masa untuk mencapai kecergasan yang diperlukan.

``Akmal sudah sembuh dan dia hanya perlukan sedikit masa untuk pulih sepenuhnya,'' kata Harris ketika mengumumkan senarai pemain yang akan beraksi dalam Pestabola Merdeka di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Harris semalam mengumumkan senarai terakhir 20 daripada jumlah asal 30 pemain termasuk menyenaraikan rakan Akmal ketika di Haguenau, Juzaili Samion dan dua pemain yang mendapat pendedahan bersama kelab Jerman, SV Wehen, Rudie Ramle dan Mohd. Fadzli Shaari.

Teka-teki ketika ini ialah siapakah dua lagi pemain yang akan digugurkan kerana hanya 18 pemain sahaja akan disenaraikan. Yang pasti Akmal bukan orangnya.

``Saya mempunyai tugas berat untuk menggugurkan dua lagi pemain yang akan beraksi saingan yang cukup kuat di kalangan mereka ketika menjalani latihan,'' katanya.

Skuad kali ini menyaksikan enam pemain yang pernah beraksi dalam kelayakan Piala Dunia di Hong Kong dan Qatar tersenarai.

Selain Akmal dan Juzaili, tiga yang lain ialah Hairuddin Omar, Norhafiz Zamani Misbah dan Mohd. Shukor Adan.

Harris juga masih berlengah menamakan ketua pasukan tetapi calon yang sesuai mungkin Hairuddin atau penyerang Selangor, Mohd. Nizaruddin Yusof yang merupakan dua pemain paling berpengalaman dalam skuad.

Sementara itu, jurulatih skuad kebangsaan, Norizan Bakar berkata, pasukannya lebih tenang kerana liputan pihak media lebih tertumpu kepada pasukan bawah 23.

``Ia mengurangkan tekanan,'' kata Norizan tetapi mengakui peluang anak buahnya untuk mara lebih jauh agak sukar.

Namun, tegasnya dengan pemain-pemain seperti ketua pasukan, Ahmad Shahrul Azhar, Abdul Ghani Malik, Gilbert Casiddy Gawing, B. Rajnikandh dan Rusdi Suparman yang beraksi dalam kelayakan Piala Dunia, mereka masih boleh memberikan saingan kuat.

``Satu-satunya faktor motivasi untuk mereka ialah membuktikan bahawa mereka memang layak berada dalam skuad kebangsaan,'' tegasnya.

Pestabola Merdeka akan bermula esok hingga 30 Jun di Stadium Shah Alam. Skuad bawah 23 diundi dalam kumpulan B dan akan memulakan aksi pertama menentang India Jumaat ini.

Pasukan kendalian Norizan pula akan bertemu Bahrain esok dalam perlawanan sulungnya.
smberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0620&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bfDtWyG4

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan