Khamis, 16 Mac 2017

Tiga pemain digantung 2 bulan

ARKIB : 15/03/2001
TIGA pelatih skuad bola sepak kebangsaan yang tertangkap kerana ke disko sehingga awal pagi dijatuhi hukuman gantung permainan selama dua bulan dan didenda sebanyak RM5,000 setiap seorang, semalam.

Hukuman itu diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), yang dipengerusikan oleh Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar, selepas mendengar keterangan tiga pemain itu di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Dua daripada tiga pemain itu ialah penjaga gol iaitu Azmin Azram Abd. Aziz dan Kamarulzaman Hassan sementara seorang lagi ialah penyerang, Khalid Jamlus.

Hukuman itu adalah tindakan lanjut daripada keputusan jurulatih kebangsaan, Allan Harris menyingkirkan mereka dari kem latihan skuad kebangsaan ke kejohanan kelayakan Piala Dunia di Hong Kong baru-baru ini, akibat kesalahan tersebut.

``Jawatankuasa Tatatertib membuat keputusan ketiga-tiga pemain terbabit digantung selama dua bulan masing-masing. Mereka juga didenda sebanyak RM5,000 setiap seorang,'' kata Raja Ahmad, yang kali pertama mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib.

Bagaimanapun, ketiga-tiga pemain boleh menarik nafas lega kerana hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh penyingkiran mereka dari skuad kebangsaan pada 26 Februari lepas.

Menurut Raja Ahmad Zainuddin, ketiga-tiga pemain itu didapati bersalah kerana melanggar tatasusila selaku pemain profesional yang sudah tahu had dan batasan yang perlu mereka ikuti.

``Sebelum melakukan kesalahan itu, mereka telah diingatkan oleh Allan agar menjaga diri kerana mereka akan bermain dalam perlawanan persahabatan dua hari kemudian,'' jelas Raja Ahmad.

Tambah beliau, jawatankuasa itu berpendapat perbuatan tiga pemain tidak sihat untuk masa depan bola sepak negara walaupun kesalahan itu dilakukan pada hari kelepasan.

Sebagai pemain kebangsaan, katanya, mereka perlu sedar bahawa tidak wajar bagi mereka berada di disko, apa lagi melanggar had waktu perintah berkurung.

``Oleh itu, hukuman ini adalah sebagai pengajaran agar kesalahan yang serupa tidak berulang,'' kata Raja Ahmad.

Ketiga-tiga pemain itu bagaimanapun boleh membuat rayuan atas hukuman itu dalam masa 14 hari.

Sementara itu, ahli majlis FAM, Datuk Paduka Ahmad Basri Akil dijatuhi hukuman berat, digantung dari menjalankan tugasnya selaku ahli majlis FAM selama empat tahun selepas didapati bersalah mengkritik secara terbuka badan induk bola sepak negara.

Kritikan Ahmad Basri dibuat menerusi sebuah akhbar berbahasa Melayu awal bulan lepas, yang menurut Jawatankuasa Tatatertib telah melanggar artikel 9.05 peraturan FAM.

``Menurut artikel 9.05, semua pegawai dan ahli persatuan tidak boleh membuat kritikan secara terbuka kerana FAM mempunyai saluran yang mereka boleh gunakan untuk menyuarakan pandangan,'' kata Raja Ahmad.

Sementara itu, bekas penyerang Kuala Lumpur, Nizaruddin Yusof didenda sebanyak RM3,000, juga kerana mengeluarkan kenyataan terbuka terhadap Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), yang melanggar peraturan 7.01 (1).

Menurut peraturan itu, ahli-ahli bersekutu atau pemain hanya boleh mengadu sebarang perselisihan kepada Jawatankuasa Status Pemain dan bukan menerusi saluran lain.

Nizaruddin dalam sebuah laporan akhbar sebelum ini menyatakan bahawa jika perlu dia akan mengambil tindakan terhadap KLFA yang masih berhutang sebulan gaji kepadanya.

Nizaruddin sebelum ini pernah digantung selama empat bulan dan didenda sebanyak RM500 oleh KLFA kerana tidak menghadiri latihan dan mengeluarkan kenyataan terbuka.

Hukuman gantung ke atasnya bagaimanapun digugurkan oleh Jawatankuasa Status Pemain, yang hanya mengenakan denda tambahan sebanyak RM500 kepadanya.

Nizaruddin dan Ahmad Basri juga mempunyai tempoh 14 hari untuk mengemukakan rayuan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0315&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4bURrPef9
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan