Khamis, 16 Mac 2017

Skuad negara perlu lupakan igauan lalu

ARKIB : 20/03/2001
SKUAD negara yang akan turun menentang tuan rumah, Qatar pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2002 di Doha hari ini, perlu bangkit melupakan igauan lalu dalam misi menebus kehampaan.

Kekalahan 5-1 selepas mendahului permainan di Hong Kong seharusnya menjadi pengajaran penting buat Malaysia dalam meneruskan pemburuan kelayakan.

Kedudukan di tangga ketiga dengan tiga mata daripada tiga perlawanan bagi kumpulan 3 zon Asia itu bukan sesuatu yang boleh dibanggakan dan Malaysia perlu memberi aksi lebih mantap kali ini.

Seperti kata jurulatih negara, Allan Harris, peluang skuad negara sebenarnya belum tertutup dan inilah yang perlu dibuktikan oleh anak buahnya ketika berdepan Qatar yang tentunya memiliki kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.

Saingan sebelum ini di Hong Kong, menyaksikan Malaysia mengutip tiga mata penuh apabila menewaskan Hong Kong 2-0 menerusi aksi cemerlang penyerang utama, Akmal Rizal Ahmad Rakhili, pemain yang beraksi di Perancis.

Namun skuad negara perlu memantapkan lagi jentera serangan selepas gagal memberi aksi bertenaga apabila kecundang kepada Palestin (1-0) dan Qatar (5-1) kerana pada perlawanan tersebut Malaysia mempunyai banyak peluang untuk melakukan jaringan tetapi tidak mampu menyempurnakannya.

Inilah antara kelemahan yang masih ketara di kalangan anak buah Harris, selain jentera pertahanan yang belum tersusun sepenuhnya.

Penjaga gol negara, Mazelan Wahid juga harus memastikan gawang negara terus terpelihara dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat lawan.

Ketika tumpas 1-0 kepada Palestin, Mazelan terkeluar dari posisinya sambil mengharapkan pengadil meniup wisel selepas menyangka rakan sepasukan, Bobby Pian dikasari pemain lawan.

Kemenangan ke atas pasukan pilihan, Qatar tetap menjadi misi utama jika Malaysia ingin melangkah lebih jauh dalam saingan kelayakan Piala Dunia ini, biarpun itu bukan matlamat utama Harris yang mahukan lebih pendedahan buat pemain muda bimbingannya.

``Bagi Malaysia, bukan kejayaan dalam kelayakan ini yang menjadi matlamat tetapi untuk membina masa depan bola sepak negara ini. Sebab itu saya mempunyai ramai pemain muda dalam pasukan ini,'' kata jurulatih dari England itu sebelum ini.

Beliau bagaimanapun percaya, kedudukan di tangga ketiga di Hong Kong lalu masih boleh berubah menjelang saingan di Qatar kali ini.

``Kita masih ada masa untuk memperbaiki keadaan atau mengubah keputusan,'' tambah Harris.

Apapun, skuad negara tidak perlu patah semangat untuk cabaran lebih baik menentang kesebelasan tuan rumah hari ini, selepas pusingan pertama berakhir seminggu lalu.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0320&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4bV89JYmO
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan