Khamis, 16 Mac 2017

Malaysia, Qatar seri

ARKIB : 21/03/2001
Daripada JOHARI SHAWAL
DOHA, Qatar - Malaysia membuka sedikit ruang untuk memperbaiki kedudukan dalam kempen bola sepak kelayakan Piala Dunia 2002 Kumpulan Tiga Asia, apabila mengikat Qatar 0-0 pada perlawanan pusingan kedua di Stadium Al-Sadd di sini, semalam.

Biarpun perit beraksi di depan penyokong tuan rumah dan dipaksa bertahan sepanjang perlawanan, pasukan negara dikira cemerlang apabila berjaya mengekang setiap asakan Qatar untuk mencatat keputusan lebih baik setelah tewas besar 5-1 pada pusingan pertama di Hong Kong, dua minggu lalu.

Keputusan itu bagaimanapun mengekalkan Malaysia di tangga ketiga dengan empat mata, tiga mata di belakang Palestin yang mengejutkan Hong Kong 1-0 pada perlawanan terdahulu. Qatar, pasukan pilihan ke pusingan kedua, mendahului kumpulan dengan 10 mata.

Allan Harris kali ini menurunkan tiga penyerang utamanya, dengan Akmal Rizal Ahmad Rakhli dibantu Rusdi Suparman dan Hairuddin Omar. Ketua pasukan, Ahmad Shahrul Azhar Sofian diletakkan di sayap kanan.

Abdul Ghani Malek turut tidak diturunkan akibat cedera pangkal paha dan tempatnya digantikan Norhafiz Mizbah manakala B. Rajinikandh mantap mengemudi barisan serangan bersama Khairil Zainal dan Irwan Fadli Idrus.

Dengan kemantapan pertahanan, barisan skuad negara jelas mampu beraksi baik sehingga berjaya mengikat Qatar tanpa jaringan pada babak pertama meskipun diasak bertubi-tubi.

Mazlan Wahid dipaksa bekerja keras menyelamatkan gawang mengekang rangkaian serangan berbahaya Qatar yang diterajui penyerang, Mohamed Salem Al Enazi.

Begitupun, bahagian tengah yang dijana Juzaili Samion dan Bobby Pian kurang menyerlah yang memberi kesempatan kepada Qatar untuk menguasainya dan memulakan rentak serangan berbahaya.

Qatar mencipta sekurang-kurangnya tujuh peluang terbaik pada babak pertama dan peluang paling baik hadir dua minit terakhir perlawanan.

Penyerang Mohamed Salem Al Enazi mempunyai ruang terbuka di depan gol hasil satu sepakan sudut pada minit ke-43 tetapi sepakannya melencong keluar dari tiang gol.

Skuad negara hanya mendapat tiga peluang terbaik. Irwan melepaskan tendangan kencang dari luar kotak penalti yang memaksa penjaga gol Qatar, Hussain Al Romaihi merebahkan badan menyelamatkan gawangnya. - Utusan

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0321&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bVEPsgSC
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan