Khamis, 16 Mac 2017

Malaysia yakin capai keputusan lebih baik

ARKIB : 22/03/2001
Daripada JOHARI SHAWAL
DOHA, Qatar - Malaysia tambah yakin untuk mencatat keputusan lebih baik dalam baki dua perlawanan pusingan kedua bola sepak kelayakan Piala Dunia Kumpulan Tiga Asia, selepas gagah mengikat pasukan pilihan, Qatar 0-0 pada perlawanan pembukaan di sini, kelmarin.

Biarpun peluang pasukan negara untuk melayakkan diri ke pusingan kedua sudah terpadam, keputusan seri dengan Qatar itu menjadi pemangkin semangat pemain untuk terus membuktikan Malaysia tidaklah seburuk yang disangka.

Perlawanan kedua dengan Hong Kong awal pagi Sabtu dan bertemu Palestin pada perlawanan terakhir pada Ahad, bakal membuktikan skuad negara lebih hebat daripada dua pasukan itu berbanding semasa pusingan pertama di Hong Kong, dua minggu lalu.

Kem skuad negara jelas begitu ceria sepanjang hari semalam selepas berjaya mengikat Qatar, pasukan pilihan untuk layak ke pusingan kedua, di depan penyokong mereka sendiri.

Paling gembira pastilah jurulatih kebangsaan, Allan Harris yang sentiasa menguntum senyum selepas anak buahnya dianggap begitu hebat berjuang di tengah padang biarpun terpaksa bertahan sepanjang perlawanan.

``Saya begitu gembira dengan keputusan ini berbanding ketika tewas 5-1 di Hong Kong. Mungkin nasib sedikit menyebelahi kita kerana Qatar mendapat begitu banyak peluang untuk menjaringkan gol.

``Tetapi saya harus memuji semua pemain yang jelas bekerja keras sepanjang perlawanan. Mereka berhak meraih keputusan demikian,'' kata Harris.

Malaysia kini di tangga ketiga kumpulan dengan empat mata, tiga mata di belakang Palestin yang mengejutkan Hong Kong 1-0 pada perlawanan terdahulu. Qatar gagah di depan dengan 10 mata dan memerlukan kemenangan ke atas Palestin pada perlawanan keduanya untuk mengesahkan tempat ke pusingan kedua.

Menurut Harris, berdasarkan perlawanan dengan Qatar kelmarin, skuadnya mampu mengatasi Hong Kong dan Palestin jika pemain mengekalkan semangat juang tinggi di padang.

``Tetapi kita tidak boleh terlalu memuji aksi pemain. Dua baki perlawanan itu amat penting untuk kita memperbaiki kedudukan, sekurang-kurangnya menamatkan kempen di tempat kedua,'' katanya.

Pada pusingan pertama, Malaysia menang 2-0 ke atas Hong Kong tetapi tewas 1-0 kepada Palestin.

Ditanya mengenai rasionalnya mengubah posisi biasa ketua pasukan, Ahmad Shahrul Azhar daripada bahagian tengah kepada sayap kanan, Harris berkata ia bagi membolehkan pemain lebih agresif seperti Bobby Pian dan Juzaili Samion memenangi bola di bahagian tengah.

Harris tidak risau dengan perlawanan menentang Hong Kong kerana percaya anak buahnya mampu mengulangi kejayaan pada pusingan pertama. - Utusan

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0322&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4bVI9lq9n
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan