Khamis, 16 Mac 2017

Shahrul, Rusdi mungkin berehat

ARKIB : 23/03/2001
DOHA, Qatar - Dua pemain utama skuad bola sepak kebangsaan, Ahmad Shahrul Azhar Sofian dan Rusdi Suparman kemungkinan besar terpaksa direhatkan pada perlawanan kedua menentang Hong Kong dalam kelayakan Piala Dunia Kumpulan Tiga Asia di Stadium Al-Sadd, awal pagi esok, akibat mengalami kecederaan.

Jurulatih negara, Allan Harris berkata, Shahrul yang juga ketua pasukan kebangsaan, mungkin terpaksa diletakkan di bangku simpanan setelah mengalami kecederaan betis.

``Dia mengalami kecederaan itu semasa menentang Qatar Selasa lalu apabila gagal menyepak kemas bola. Semasa latihan, dia mengadu sakit di bahagian berkenaan.

``Manakala Rusdi cedera di buku lali kanan semasa perlawanan yang sama. Saya khuatir mereka tidak dapat bermain dalam perlawanan dengan Hong Kong nanti. Ia adalah satu masalah kepada pasukan kita,'' kata Harris, semalam.

Shahrul dan Rusdi mengadu kesakitan semasa skuad negara menjalani latihan di padang latihan Stadium Al-Wakra, kira-kira 20 kilometer dari hotel penginapan.

Menurut Harris, dia sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk mencari pengganti dua pemain itu jika mereka tidak dapat diturunkan.

Jurulatih England itu bagaimanapun tidak memberitahu pengganti mereka tetapi jika dilihat kepada barisan pemain simpanan yang ada, kemungkinan Gilbert Cassidy Gawing akan mengambil tempat di bahagian sayap kiri. - Utusan

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0323&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4bVJ27h6t
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan