Khamis, 16 Mac 2017

Pestabola Merdeka -- Harris tidak mahu tampil dua pasukan



ARKIB : 24/03/2001
DOHA, Qatar - Jurulatih bola sepak kebangsaan, Allan Harris berkata, dia lebih cenderung menampilkan barisan terkuat skuad negara dengan hanya satu pasukan dan bukannya dua, untuk kejohanan Pestabola Merdeka di Kuala Lumpur, 15-30 Jun ini.

``Bagi saya, lebih baik menghantar satu pasukan iaitu pasukan penuh kebangsaan pada Pestabola Merdeka ini kerana jika kita menghantar dua pasukan, kekuatan kita akan dibahagi-bahagi.

``Pemain terpaksa dipecahkan untuk dua pasukan itu dan saya rasa tidak adil bagi pemain terutama dalam barisan bawah 23 tahun dan pasukan kebangsaan,'' kata Harris di sini, semalam.

Jurulatih dari England itu berkata demikian ketika ditanya sama ada perlu Malaysia menghantar dua pasukan pada kejohanan itu. Sebelum ini, ada ura-ura cadangan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mahu menghantar dua pasukan untuk kejohanan berkenaan memandangkan empat pasukan luar telah mengesahkan penyertaan.

Pasukan itu ialah Slovakia, Bosnia, Thailand dan Bahrain. Jika Malaysia menghantar dua pasukan, kejohanan boleh dibahagikan kepada dua kumpulan tetapi jika hanya satu, liga satu pusingan terpaksa dibuat seperti kejohanan tahun lalu.

Kejohanan tahun lalu hanya menampilkan empat pasukan setelah Cameroon dan Ghana menarik diri pada saat akhir yang memaksa jadual perlawanan dirombak beberapa kali.

Penarikan dua pasukan itu sebagai bantahan Persekutuan Bola Sepak Afrika (CAF) terhadap empat undi Gabungan Bola Sepak Asia (AFC) yang dikatakan menyokong Jerman dan bukannya Afrika Selatan semasa pemilihan tuan rumah Piala Dunia 2006, tahun lalu.

Pestabola Merdeka 2000 akhirnya disertai dua pasukan luar negara iaitu New Zealand dan Oman manakala Malaysia menghantar dua pasukan iaitu Malaysia A dan Malaysia B (bawah 23 tahun).

Malaysia A yang ketika itu dibimbing bekas jurulatih kebangsaan, Abdul Rahman muncul naib juara apabila tewas 2-0 kepada New Zealand pada perlawanan akhir.

Harris berkata, walaupun Malaysia dilihat perlu menghantar pasukan bawah 23 tahun yang bakal mengharungi Sukan SEA XXI Kuala Lumpur September ini, ia dirasakan tidak adil bagi pemain senior dalam pasukan kebangsaan.

``Kita masih boleh meletakkan beberapa pemain bawah 23 dalam pasukan itu untuk Pestabola Merdeka dan saya rasa kita tidak rugi jika hanya menghantar satu pasukan,'' tambahnya.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Dell Akbar Khan bersetuju dengan pandangan Harris.

``Lebih baik kita hantar pasukan penuh kebangsaan kerana dengan hanya satu pasukan, kita mampu menyediakan sebuah pasukan yang kuat. Jika dua pasukan, kita tentu mempunyai masalah untuk meletakkan pemain kebangsaan antara dua pasukan itu,'' kata Dell. - Utusan

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0324&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bVLOhwLJ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan