Khamis, 16 Mac 2017

Malaysia bangkit -- Akmal Rizal jaringkan dua gol berharga


 

ARKIB : 09/03/2001
Pemain bola sepak negara, Rusdi Suparman cuba menyepak bola sementara pemain pertahanan Hong Kong, Cheung sai-ho memerhatikan ketika mereka beraksi pada pusingan kelayakan Piala Dunia Zon Asia kumpulan tiga di Hong Kong, semalam. - Gambar AFP.

Daripada A. JAILANI ABDULLAH
HONG KONG - Akmal Rizal Ahmad Rakhli menjadi wira pasukan bola sepak negara apabila menjaringkan kedua-dua gol ketika menewaskan Hong Kong 2-0 dalam pusingan kelayakan Piala Dunia kumpulan tiga Asia di Stadium Hong Kong, Causeway Bay, semalam.

Namun, penjaga gol, Mazelan Wahid turut berhak menerima pujian apabila menyelamatkan banyak percubaan berbahaya penyerang-penyerang Hong Kong pada perlawanan yang dipenuhi aksi dramatik dalam cuaca sejuk di mana suhu turun sehingga kira-kira 16 darjah Celsius.

Malaysia menunjukkan aksi lebih baik dalam perlawanan kedua ini walaupun Hong Kong lebih menguasai babak pertama hasil sokongan padu para penyokong tempatan.

Namun, kata-kata semangat Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang tiba di sini hari ini, nyata menghadirkan mutu permainan lebih bersemangat dari pemain-pemain negara.

Akmal menjaringkan kedua-dua gol Malaysia pada babak kedua perlawanan untuk memastikan skuad negara menduduki tempat kedua dengan tiga mata di belakang Qatar yang mengutip mata penuh selepas dua perlawanan.

Pemain tengah Hong Kong, Chan Chi Hong memulakan aksi garang tuan rumah tetapi sepakannya dari jarak 20 meter pada minit ke-20 ditepis keluar oleh Mazelan, yang bermain kali kedua untuk Malaysia sejak 1995.

Hanya dua minit kemudian, tuan rumah menyerbu lagi tetapi sekali lagi Mazelan tenang menangkap bola sepakan Yeung Ching Kwong dari luar kotak penalti.

Peluang terbaik Hong Kong untuk membuka tirai jaringan hadir pada minit ke-44 apabila penyerang lincah, Chan Ho Man yang mendapat hantaran dari tengah padang, merembat kencang dari dalam kawasan penalti hanya untuk menyaksikan Mazelan terus menjadi penghalang dengan menepis bola keluar.

Ketika tuan rumah kelihatan terlalu yakin, skuad negara memulakan babak kedua dengan bergaya apabila Akmal, yang mendapat cap antarabangsa keduanya, menjaringkan gol tercantik kejohanan setakat ini, hanya dua minit selepas rehat.

Hantaran Hairuddin Omar dari tengah terus kepada penyerang berusia 19 tahun itu yang membuat larian solo sebelum melambungkan bola dari jarak 20 meter untuk menewaskan penjaga gol tuan rumah, Xiao Guoji yang keluar dari posisinya.

Hong Kong cuba bangkit tetapi Mazelan masih kukuh sebagai benteng terakhir skuad negara. Dua percubaan Hong Kong menerusi Kwok Yue Hung dan Ho Man masing-masing pada minit ke-52 dan 55 menyaksikan Mazelan membuktikan dirinya masih unggul untuk mengecewakan harapan para penyokong tempatan.

Kawasan gol skuad negara berada dalam bahaya pada minit ke-69 apabila Ho Man berjaya melepasi kawalan pertahanan skuad negara di penjuru kawasan gol tetapi sepakannya ditepis oleh Mazelan.

Ketika permainan menuju penghujung, Stadium Hong Kong sunyi lagi apabila Akmal sekali lagi menemui sasaran. Selepas menerima hantaran dari pemain pertahanan, B. Rajnikandh, Akmal membuat pusingan 180 darjah di dalam kawasan gol untuk meledakkan sepakan kencang bagi gol kedua pasukan negara dan dirinya.

Yang nyata, tindakan Harris meletakkan pemain-pemain muda, Ghani Malik, Irwan Fadli Idrus, Norhafiz Zamani Misbah dan Jaafar Salleh nampak membuahkan hasil dengan kemenangan bergaya itu. - Utusan

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0309&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bU4LsVhO© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan