Khamis, 16 Mac 2017

Rajnikandh pikul dua tugas



ARKIB : 08/03/2001
HONG KONG - Jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Allan Harris secara berterus terang telah mengakui skuadnya tidak mempunyai pemain pertahanan yang bertaraf tinggi, tetapi B. Rajnikandh telah bersedia untuk membuktikan pertemuan dengan Hong Kong malam ini akan menampakkan kelainan.

``Kita telah bersedia dan sepenuh perhatian kita sekarang ialah pertemuan dengan Hong Kong,'' kata bekas ketua pasukan itu, yang memikul tugas berat selaku pertahanan tengah, semalam.

Perlawanan malam ini adalah yang kedua buat kedua-dua pasukan dalam kelayakan bola sepak Piala Dunia Kumpulan Tiga Asia di Stadium Hong Kong di sini.

Malaysia kalah 5-1 kepada Qatar sementara Hong Kong seri 1-1 dengan Palestin dalam perlawanan pertama masing-masing Ahad lepas.

Mewakili negara sejak 1995, Rajnikandh berkata, Hong Kong banyak bermain hantaran jauh dan dia dan rakan-rakannya telah diingatkan oleh Harris agar berhati-hati dengan kemungkinan diserang secara mengejut oleh barisan penyerang Hong Kong.

``Allan telah mengingatkan kami agar berhati-hati. Kita tidak mahu lagi terpedaya dengan permainan lawan yang memerangkap kita agar bergerak ke hadapan dan mereka menyerang dengan hantaran jauh,'' katanya.

Menurutnya, dia dan rakan-rakan di bahagian pertahanan tidak mahu lagi mengulangi kesilapan ketika bertemu Qatar apabila terperangkap dengan serangan mengejut lawan. - Utusan

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0308&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4bU331RFT© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan