Khamis, 16 Mac 2017

Hong Kong, Malaysia di bawah tekanan



ARKIB : 08/03/2001
Daripada: A. JAILANI ABDULLAH
HONG KONG - Pasukan tuan rumah dan Malaysia mempunyai beberapa persamaan menjelang pertemuan kedua-dua pasukan malam ini dalam pusingan kelayakan bola sepak Piala Dunia Kumpulan Tiga Asia di Stadium Hong Kong, Causeway Bay. Kedua-dua pasukan kehilangan seorang pemain penting dan kedua-dua pasukan juga berada di bawah tekanan.

Jurulatih kebangsaan, Allan Harris berkata, Hong Kong kehilangan pemainnya yang paling berpengalaman, John Moore sementara Malaysia kehilangan pemain pertahanan, Khairil Zainal - kedua-dua pemain tidak dapat bermain selepas mendapat kad merah dalam perlawanan sulung mereka Ahad lepas.

Khairil mendapat kad merah ketika Malaysia kalah 5-1 kepada Qatar manakala Moore, pemain tengah berasal dari England digantung satu perlawanan selepas dibuang padang ketika seri 1-1 dengan Palestin.

``Kekuatan Malaysia dan Hong Kong agak seimbang.

``Kita kehilangan Khairil dan Hong Kong juga mendapat kehilangan besar dengan penggantungan John Moore,'' kata Harris yang mungkin meletakkan Ghani Malik bagi mengisi tempat Khairil.

Jurulatih dari England itu juga menjelaskan bahawa tekanan ke atas kedua-dua pasukan juga amat berat ketika ini.

``Tuan rumah tertekan kerana para penyokong mereka mahukan kemenangan sementara Malaysia perlu bangkit selepas kalah kepada Qatar,'' tegas Harris.

``Tetapi, tekanan hanyalah di dalam otak kita. Jika mereka mahu menjadi profesional, pemain-pemain perlu melawan tekanan itu.''

Bagaimanapun, Malaysia sebenarnya menghadapi keadaan yang lebih berat lagi apabila sayap kanan, V. Saravanan tidak dapat diturunkan kerana kecederaan hamstring.

Ketiadaan pemain dari Perak itu mungkin diisi oleh pemain muda Jaafar Salleh yang menggantikan Saravanan pada babak pertama menentang Qatar.

Namun, Harris yang bencikan kekalahan menegaskan kepada pemain-pemainnya agar mencatat kemenangan ke atas Hong Kong.

``Ada di antara pemain kita yang tidak terasa apa-apa bila kalah. Saya mahu mereka ingat bahawa kita mesti menang dan bencikan kekalahan,'' katanya.

Harris tidak akan mungkin menukar sistem 4-4-2 yang digunakan, corak yang sama digunakan oleh Hong Kong.

``Tidak mungkin saya menukar sistem permainan ketika kita berada di tengah-tengah kejohanan,'' jelas beliau, tetapi tidak menolak kemungkinan membuat dua atau tiga pertukaran pemain.

Ketika ini, Harris juga masih belum membuat keputusan sama ada mahu mengekalkan gandingan penyerang ketika menentang Qatar atau meletakkan semula Rusdi Suparman, menggantikan Akmal Rizal Ahmad Rakhli untuk berganding dengan Hairuddin Omar.

Katanya lagi, beliau telah membuat kaji selidik kekalahan dengan Qatar dan tiga masalah telah dikenal pasti.

``Pertama pemain membiarkan pasukan lawan kembali bermain dengan rentak sendiri.

``Pemain-pemain juga gagal mengawal bola dengan baik dan kesilapan pertahanan,'' jelas beliau. - Utusan

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0308&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bU2IMIrw
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan