Khamis, 16 Mac 2017

Perlawanan penentu



 
ARKIB : 07/03/2001
Perlawanan penentu
Penjaga gol Qatar, Amer Abdulrahman Al-Kaabi (kiri) menyelamatkan bola dari asakan pemain kebangsaan, Hairuddin Omar dalam perlawanan yang menyaksikan Malaysia tewas kepada Qatar, 1-5. Esok Malaysia akan menentang Hong Kong pada pusingan kelayakan Piala Dunia di Hong Kong.- Gambar Reuters.

Daripada A. JAILANI ABDULLAH
HONG KONG - Perlawanan dengan tuan rumah, Hong Kong esok adalah penentu sama ada skuad negara mampu menghabiskan pusingan pertama kelayakan Piala Dunia Kumpulan Tiga Asia di tempat kedua selepas kekalahan besar Ahad lepas.

Jika dilihat daripada prestasi kedua-dua pasukan, Malaysia sepatutnya menjadi pilihan berdasarkan kemahiran serta taraf pemain-pemain yang sudah bergelar profesional.

Sebaliknya, Hong Kong sebahagian besarnya membariskan pemain-pemain bertaraf amatur, ertinya mereka bukan mencari makan dengan bermain bola sepak tetapi terpaksa bekerja makan gaji.

Bagaimanapun, sebelum itu, beberapa masalah perlu diselesaikan oleh skuad negara, yang sebenarnya oleh pemain-pemain sendiri.

Masalah semangat juang yang mudah patah apabila ketinggalan atau tidak bersetuju dengan pengadil perlu dibuang jauh-jauh.

Tetapi masalah besar yang tersembunyi daripada perhatian ialah segelintir pemain dikatakan ego dan tidak menghormati tunjuk ajar orang yang lebih berpengalaman yang perlu ditangani segera, malah sepatutnya sudah lama.

Cukuplah dengan masalah disiplin yang ditimbulkan oleh beberapa pemain sebelum ini.

Para peminat negara sudah muak dengan perangai pemain seperti itu.

Sepatutnya sudah lama pemain-pemain sedar bahawa taraf mereka tidak setinggi mana untuk menunjukkan lagak seperti seorang bintang sehinggakan tunjuk ajar orang yang lebih arif dan berpengalaman `ditong-sampahkan'.

Terpilih mewakili negara bukan bermakna mereka sudah boleh mengaku hebat tetapi jurulatih Allan Harris tidak mempunyai banyak pilihan.

Apabila bersembang-sembang dengan beberapa pegawai pasukan yang berada di sini, terdedahlah pekung beberapa pemain kita.

Ada di antara mereka yang terlalu berlagak hebat, enggan menerima teguran dan tunjuk ajar pasukan. Disiplin juga semakin merosot.

Siapa yang mahu dipersalahkan jika kita kalah dengan begitu mudah. Jurulatih yang telah bertungkus lumus membuat perancangan? Atau Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang telah membantu menyelesaikan masalah kewangan pemain-pemain bermasalah. - Utusan

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0307&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bU0pOr4c© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan