Khamis, 16 Mac 2017

Kekalahan yang sukar diterima - Tengku Abdullah



ARKIB : 06/03/2001
TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata kekalahan teruk 1-5 kepada Qatar pada perlawanan sulung pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia di Hong Kong kelmarin adalah sesuatu yang sukar diterima.

Katanya, kekalahan dengan jaringan besar itu adalah di luar dugaannya memandangkan Qatar bukan antara pasukan gergasi di rantau Asia.

``Sebelum ini kita memang mengakui Qatar sebuah pasukan yang disegani...kita tidak pernah mengalahkan mereka dan kalau dilihat kepada rekod, kita hanya seri.

``Tetapi kekalahan dengan jumlah jaringan yang besar begitu memeranjatkan saya,'' katanya di Petaling Jaya semalam.

Pada perlawanan kelmarin, aksi anak buah Allan Harris ternyata memberangsangkan pada awal permainan untuk mendahului lawan pada minit kesembilan tetapi kegugupan penjaga gol, Mazelan Wahid mengakibatkan Malaysia dibelasah 1-5 oleh Qatar.

Mengenai Mazelan yang dipanggil pada saat akhir menggantikan dua penjaga gol, Kamarulzaman Hassan dan Azmin Azram Aziz yang disingkirkan bersama penyerang Khalid Jamlus, kerana masalah disiplin, Tengku Abdullah mengakui ketiadaan kedua-dua penjaga gol utama negara itu menjejaskan skuad kebangsaan.

``Seperti yang saya pernah katakan di akhbar sebelum ini, penyingkiran dua penjaga gol, nombor satu dan dua negara sedikit sebanyak akan menjejaskan skuad negara.

``Bagaimanapun, kita tidak menaruh harapan yang besar kepada Mazelan yang menyertai pasukan kebangsaan tiga empat hari sebelum berlepas ke Hong Kong. Mungkin beliau tidak bersedia 100 peratus. Kita tidak boleh menyalahkan penjaga gol semata-mata,'' katanya.

Dalam pada itu, Tengku Abdullah, yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal AFC, berkata beliau akan mendapatkan laporan terperinci mengenai corak permainan, disiplin pemain dalam padang dan punca kekalahan Malaysia pada perlawanan semalam.

``Kita akui kekalahan tetap kekalahan dan saya berharap dalam pertandingan akan datang, pemain perlu bangkit dan jangan mudah berputus asa. Mereka harus memiliki semangat juang yang tinggi.''

Malaysia akan berdepan Hong Kong Khamis ini dan Palestin pada 11 Mac. - Bernama

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0306&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_09.htm#ixzz4bTzgg1Pm© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan