Rabu, 15 Mac 2017

Skuad negara mula bersinar

ARKIB : 30/01/2001
KEPUASAN terpancar di wajah semua pemain skuad bola sepak kebangsaan ketika berjalan menuju masuk ke bilik persalinan sebaik tamat perlawanan menentang FC Aarau, kelmarin, lapor JOHARI SHAWAL.

Setidak-tidaknya, kemenangan 5-1 ke atas kelab divisyen satu Switzerland itu pada perlawanan persahabatan di Stadium Kelana Jaya, menyuntik semangat pemain dan peminat.

Keputusan itu juga sebagai tanda kukuh bahawa pemain amat bersungguh-sungguh membangkitkan semula keyakinan peminat bahawa bola sepak Malaysia belum mati.

Biarpun ia hanya sekadar perlawanan persahabatan, aksi yang dipertontonkan kelmarin agak memikat.

Berbanding ketika menumpaskan KL Malay Mail 5-2 sebelum itu, persembahan pasukan negara semakin menampakkan sinar dalam usaha mempersiapkan diri bagi memperjudikan nasib dalam kelayakan Piala Dunia 2002, Mac nanti.

Jelas anak didik bekas jurulatih, Abdul Rahman Ibrahim yang kini terus dipupuk Allan Harris, semakin matang.

Pencapaian baik semasa Piala Tiger 2000 tahun lalu, yang mana sebahagian besar pemain yang beraksi kelmarin adalah anggota pasukan itu, bakal terus diperbaiki. Begitupun, ia tidak serta merta diterima Harris dengan hati lapang.

"Ia masih awal. Ia hanya perlawanan persahabatan. Perjalanan kita masih jauh. Kita ada tugas penting yang menanti,'' kata Harris selepas perlawanan itu.

Menurut jurulatih dari England itu, perlawanan itu menguji semangat sepasukan, keyakinan dan kecergasan semua pemainnya.

"Kecergasan mereka semakin baik walaupun terpaksa bermain dalam keadaan padang kurang elok (becak) akibat hujan. Saya puas hati dengan aksi mereka hari ini,'' tambahnya.

Kelmarin, aksi di padang tidak kaku malah pemain sentiasa menitip ruang dari segenap sudut mencari sentuhan pemusnah. Dan lima gol yang diperoleh membuktikan usaha itu selain menunjukkan ketajaman serangan. Rusdi Suparman dan Hairuddin Omar terus menemui sentuhan masing-masing.

Pujian utama harus diberi kepada barisan pertahanan yang bekerja keras mengekang barisan berpengalaman FC Aarau.

B. Rajinikandh menjalankan tugas dengan cemerlang dibantu Bahtiar Osman, Khairil Zainal dan Rosdi Talib. Ahmad Shahrul Azhar Sofian selaku ketua pasukan mengemudi bahagian tengah bersama Bobby Pian, V. Saravanan dan Anuar Jusoh.

Harris akan memilih 24 pemain untuk dibawa ke Fiji minggu ini untuk tiga perlawanan persahabatan di sana. Mereka dijadual berlepas Rabu ini.

"Saya harap sekembali dari Fiji, saya mendapat pemain yang benar-benar boleh membantu pasukan ke tahap lebih baik dan bersedia menghadapi cabaran negara,'' kata Harris.

Malaysia akan mengharungi kelayakan Piala Dunia 2002 di Hong Kong (3-11 Mac) dan Qatar (20-25 Mac).

Skuad negara diletakkan dalam Kumpulan 3 Asia bersama Hong Kong, Qatar dan Palestin.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0130&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4bNPDT227

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan