Rabu, 15 Mac 2017

Jaya Prakash penyelamat

ARKIB : 29/01/2001
SKUAD bola sepak bawah 23 tahun kebangsaan mencatat kemenangan 1-0 ke atas Bahrain pada perlawanan persahabatan semalam tetapi jurulatih Norizan Bakar menganggap aksi keseluruhan skuad negara masih longgar.

"Kita menang tetapi kawalan pemain masih longgar di sana sini cuma apa yang kita dapat banggakan kita berjaya mengatasi sebuah pasukan yang akan menghadapi Piala Dunia,'' kata Norizan selepas perlawanan di Stadium Kelana Jaya, semalam.

Pasukan negara memperoleh jaringan menerusi sepakan penalti ketua pasukan, S. JayaPrakash tiga minit sebelum tamat permainan.

Bahrain, yang sedang membuat persiapan untuk kelayakan Piala Dunia 2002 kumpulan 4 Asia, bermain sepuluh orang hampir sepanjang babak kedua selepas pemainnya, Abdulla Marzooi dibuang padang.

"Kita jangan ghairah kerana ini adalah permulaan. Kita harus tingkatkan lagi permainan,'' tambah Norizan.

Skuad negara sedang dalam persiapan untuk menghadapai Sukan SEA September ini.

Aksi kedua-dua pasukan dalam perlawanan semalam amat terhad kerana mereka bermain dalam keadaan padang becak akibat hujan.

Kedua-dua pasukan bermain pantas tetapi bola sering tertekan di takungan air namun perlawanan lebih memihak kepada pasukan negara.

Penyerang Rudie bagaimanapun gagal melepaskan diri apabila dikawal ketat oleh pertahanan lawan.

Begitupun Bahrain sekali sekala memaksa penjaga gol Malaysia, Syamsuri Mustapha bekerja keras mengawal gawangnya.

Cubaan terbaik Bahrain hadir pada minit ke-70 menerusi sepakan percuma, Mohd Hussin tetapi Syamsuri pantas menepis bola yang sebelum itu terkena bentang pasukan.

"Kita sebenarnya tidak dapat menilai keseluruhan permainan kerana padang becak begitu juga dengan Bahrain cuma kita dapat mengambil kesempatan dengan baik,'' kata Norizan.

Norizan mengambil alih sementara latihan pasukan 23 negara menggantikan tempat Allan Harris yang mengendalikan pasukan senior kebangsaan.

Bahrain yang dibimbing jurulatih dari Jerman, Wolf Gang Cidka bakal mengharungi kelayakan Piala Dunia di Singapura minggu depan.

Skuad itu diletakkan sekumpulan dengan Singapura, Kuwait dan Kyrgyzstan

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0129&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4bNfcqIWy
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan