Selasa, 14 Mac 2017

Format 4-4-2 Harris menjadi



 
ARKIB : 29/01/2001
Format 4-4-2 Harris menjadi
PEMAIN Malaysia, Hairuddin Omar (kiri) berusaha melepasi pemain FC Aarau, Luca Jodice pada perlawanan bola sepak persahabatan di Stadium Petaling Jaya, semalam. Malaysia menang 5-1. - Gambar HANAFI KHAMIS.

MALAYSIA mempamerkan aksi garang apabila menang bergaya 5-1 ke atas kelab Switzerland, FC Aarau pada perlawanan bola sepak persahabatan di Stadium Kelana Jaya, semalam.

Biarpun bermain dalam keadaan padang becak, skuad bimbingan Allan Harris bagaikan harimau lapar mengejar bola di segenap sudut, dan membuka jaringan ketika perlawanan baru bermula 24 saat.

Anuar Jusoh menyambar hantaran silang V. Saravanan dari sebelah kanan sebelum merembat kencang untuk jaringan pembukaan ketika FC Aarau leka menyusun posisi.

Format 4-4-2 yang diamalkan Harris memang memihak kepada jurulatih England itu apabila barisan anak buahnya jelas kerap melancarkan serangan dari kedua-dua arah.

Jentera tengah yang dikendali ketua pasukan, Ahmad Shahrul Azhar Sofian dijana hebat untuk menggerakkan bola ke hadapan yang sedia ditunggu oleh Hairuddin Omar dan Rusdi Suparman.

Begitupun FC Aarau, kelab divisyen satu Switzerland yang membuat lawatan ke Malaysia selepas tamat musim liga, menyamakan kedudukan pada minit ke-26 hasil sepakan penalti.

Penjaga gol Kamarulzaman Hassan terpaksa menjatuhkan Levan Khomerik untuk sepakan penalti yang disempurnakan oleh Ivan Previtali.

Namun, Hairuddin kembali meletakkan Malaysia di depan lima minit kemudian menerusi gerakan dari sebelah kanan oleh Shahrul.

Hairuddin yang sedia menunggu di depan gol, hanya menolak masuk hantaran ke depan Shahrul.

Selepas mencipta gerakan untuk rakan, giliran Ahmad Shahrul pula menggegarkan jaring FC Aarau dua minit kemudian.

Shahrul bermula dari tengah secara solo dan membuat gerakan satu dua dengan Hairuddin di luar kotak penalti sebelum Shahrul membuat rembatan rendah untuk gol ketiga Malaysia.

Selepas itu, Malaysia menguasai permainan terutama bahagian tengah tetapi lebih gemar membuat serangan dari kedua-dua bahagian sayapnya.

Rusdi yang dikawal ketat sebelum ini, akhirnya berjaya meloloskan diri dan meletakkan Malaysia selesa 4-1 sehingga waktu rehat.

Perlawanan itu juga menjadi medan Harris untuk mencuba semua pemainnya dan jurulatih itu bertindak mengeluarkan hampir semua pemain 'kesebelasan utamanya' pada babak kedua.

Dan Malaysia hanya mampu menambah satu gol menerusi tandukan Muhammad Khalid Jamlus pada minit ke-78 hasil sepakan percuma Mohd. Ali Taha.

Perlawanan persahabatan itu adalah sebahagian persiapan skuad negara untuk menghadapi kelayakan Piala Dunia 2002, Mac ini.

Ia adalah pertemuan kali kedua bagi kedua-dua pasukan sejak Malaysia menang 2-1 pada Pestabola Merdeka 1993 yang mana skuad negara muncul juara.

FC Aarau menamatkan liga mereka musim lalu di tangga kesembilan daripada 12 pasukan dan perlawanan dengan Malaysia antara siri lawatan pasukan itu sebelum menghadapi musim baru liga.

MALAYSIA: Kamarulzaman Hassan (Azmin Azram Aziz), B. Rajinikandh (Leong Hong Seng), Khairil Zainal (Abd. Ghani Malek), Bahtiar Osman (Mohd. Ali Taha), Rosdi Talib (Gilbert Cassidy), Ahmad Shahrul Azhar Sofian (Shukor Adan), Bobby Pian (Ahmad Shahruddin Rosdi), Anuar Jusoh (Chow Chee Weng), V. Saravanan (Khalid Jamlus), Hairuddin Omar (Jaafar Salleh), Rusdi Suparman

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0129&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4bMxj8m2D
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan