Selasa, 14 Mac 2017

Bertemu FC Aarau di Stadium Petaling Jaya petang ini --Format 4-4-2 kekal



 
ARKIB : 28/01/2001
JURULATIH negara, Allan Harris mengutip jersi latihan untuk diagihkan kepada para pemain sebelum memulakan sesi latihan skuad bola sepak kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam. - Gambar ZAINI HUSIN.

JURULATIH negara, Allan Harris tidak bercadang menggunakan sistem marking walaupun menjangkakan cabaran getir ketika bertemu kelab Switzerland, FC Aarau pada perlawanan bola sepak persahabatan di Stadium Petaling Jaya, Kelana Jaya, 5 petang ini.

Harris ketika ditemui pada sesi latihan di Wisma FAM semalam berkata, tiada sebab untuk Malaysia mengubah sistem yang ada memandangkan skuad negara mempunyai corak permainan tersendiri.

"Bagi saya perlawanan persahabatan kedua ini memang sukar kerana kebiasaannya para pemain di negara Eropah seperti Switzerland memiliki tahap kecergasan tinggi.

"Waktu ini mereka sedang berehat di pertengahan musim dan pastinya mampu memberi tentangan terbaik apabila berdepan lawan,'' katanya.

Mengenai persiapan menjelang pertemuan itu, beliau berkata, secara keseluruhan barisan negara sudah bersedia untuk memberi aksi terbaik.

"Memandangkan ia satu pertemuan yang dijangkakan sukar, maka kita tidak mengharapkan sangat daripada keputusan. Menang atau kalah bukan ukuran.

"Apa yang penting, para pemain negara mampu memberi saingan dan bersedia dari segala aspek untuk menghadapi mereka,'' ujarnya.

Begitupun, pada babak akhir sesi latihan semalam, Harris tetap memberi tumpuan terhadap strategi menghasilkan gol.

"Ia strategi biasa yang digunakan oleh mana-mana pasukan. Kita hanya merangka strategi permainan dengan pemain melakukan hantaran silang untuk disempurnakan rakan di barisan serangan.

"Ia boleh menghasilkan gol, jika betul caranya. Untuk menghadapi kelab Swiss itu, kita juga harus menajamkan lagi barisan serangan,'' tambahnya.

Mengenai sistem marking itu, Harris bagaimanapun menaruh keyakinan penggunaan sistem permainan 4-4-2 yang diamalkan sekarang boleh membawa hasil yang baik dalam meningkatkan keupayaan skuad bimbingannya itu.

"Banyak negara mengamalkan sistem marking agar pertahanan mereka sukar dibolosi, tetapi bagi kita tiada sebab untuk menerapkannya dalam skuad ini.

"Malaysia tampak lebih selesa dengan corak permainan 4-4-2 dan saya percaya masih ada ruang memantapkan cabaran dengan cara itu.

"Negara lain mempunyai sebab untuk corak permainan sedemikian, tetapi kita harus lebih liberal dengan corak permainan terbuka untuk mencipta ruang kemenangan,'' ujarnya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4bMwKPELM
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan