Selasa, 14 Mac 2017

Harris gembira Nizaruddin kembali

ARKIB : 23/01/2001
JURULATIH skuad bola sepak kebangsaan, Allan Harris gembira sekiranya Mohamed Nizaruddin Yusof dapat menyertai kem latihan pusat berikutan perkembangan terbaru mengenai kes penyerang antarabangsa itu.

"Jika dia dibebaskan saya sangat gembira,'' kata Harris. "Bukan sahaja kerana saya akan dapat tambahan seorang lagi pemain yang bagus, tetapi juga kerana hukuman ke atasnya digugurkan.

"Nizaruddin ialah pemain yang memiliki kualiti tinggi dan ini akan memberi lebih banyak pilihan pemain kepada saya. Ia bagus untuk pasukan.''

Ketika ini, Harris memiliki empat penyerang iaitu Rusdi Suparman, Hairuddin Omar, Khaled Jamlus dan V. Saravanan - kesemua mereka menjalani latihan selain menanti kepulangan Akhmal Rizal Mohd. Rakhli dari Perancis.

Harris sedang menyediakan pasukannya untuk menghadapi kelayakan Piala Dunia 2002 Mac ini.

Beliau, yang baru sahaja disahkan turut memegang jawatan pengurus pasukan, pada awalnya menyenaraikan nama Nizaruddin untuk latihan pusat yang bermula dua minggu lepas tetapi terpaksa mengecualikan pemain itu yang digantung.

Pada awal bulan ini, Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) telah menggantung Nizaruddin dan seorang lagi bekas pemainnya, Mohamed Shawal Johadi selama empat bulan kerana tidak menghadiri latihan selama 10 hari.

Mereka juga dikenakan denda sebanyak RM500.

Hukuman itu menyebabkan Nizaruddin, yang membantu Malaysia menduduki tempat ketiga pada Kejohanan Piala Tiger di Thailand November lalu, terpaksa dicicirkan daripada latihan pusat.

Johadi pula tidak dapat menyertai latihan bersama-sama skuad bawah 23 tahun negara yang membuat persiapan untuk Sukan SEA.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Zain Hashim berkata kelmarin, hukuman yang dijatuhi oleh KLFA tidak sah.

Menurut beliau, persatuan hanya boleh menggantung pemain selama tempoh ikatan kontrak mereka sahaja.

Hukuman ke atas kedua-dua pemain itu dikenakan pada 25 Disember tahun lepas dan akan berakhir pada April.

Kontrak Nizaruddin dan Shawal dengan KLFA bagaimanapun berakhir pada 31 Disember lepas.

Namun, nasib sebenar Nizaruddin dan Shawal akan hanya diketahui minggu depan apabila Jawatankuasa Status Pemain bermesyuarat selepas kedua-dua pemain itu menghantar surat rayuan masing-masing minggu lalu.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0123&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4bMnZbOVX
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan