Selasa, 14 Mac 2017

Harris pikul dua tugas



 
ARKIB : 22/01/2001
JURULATIH kebangsaan, Allan Harris berbual dengan Rusdi Suparman. Harris kini merangkap pengurus pasukan kebangsaan.

Beliau berkata, Harris kini menjalankan kedua-dua tugas berkenaan setelah jawatan pengurus pasukan dimansuhkan oleh FAM ekoran kegagalan skuad negara ke separuh akhir Sukan SEA XX Brunei pada Ogos 1999.

Tengku Abdullah memberitahu: "Harris dilantik menjadi jurulatih yang turut menjalankan kerja-kerja pengurus pasukan. Kita sudah tiada dan tidak perlu pengurus pasukan tetap lagi.''

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada jurulatih dari England itu turut diserapkan sebagai pengurus pasukan kebangsaan di samping tugas utamanya, ketua jurulatih.

Terdahulu, Tengku Abdullah ditemui selepas menyampaikan hadiah pada perlawanan akhir Piala Bardhan ke-43 dan majlis taklimat dengan skuad Liga Malaysia Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan, kelmarin.

Harris yang dilantik oleh FAM bagi mengambil alih tempat Abdul Rahman Ibrahim mulai 8 Disember lalu, kini turut membimbing skuad bawah 23 tahun negara bagi menghadapi Sukan SEA XXI di Kuala Lumpur, September depan.

Skuad kebangsaan yang turut dibimbingnya pula sedang dalam persediaan menghadapi pusingan kelayakan Piala Dunia kumpulan tiga Asia di Hong Kong dan Qatar, Mac ini.

Jawatan ketua jurulatih merangkap pengurus pasukan merupakan kaedah pelantikan baru yang diperkenalkan oleh FAM walaupun banyak kelab dan pasukan luar negara telah lama mengamalkannya.

Ia merupakan cetusan hasil satu seminar bola sepak anjuran Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama FAM di Bukit Jalil, Kuala Lumpur sejurus selepas skuad negara menyambung kegagalan ke separuh akhir kali kelima berturut-turut di Brunei.

MSN menggelarkan jawatan itu sebagai supremo tetapi Tengku Abdullah ketika di Rompin pada tahun lalu, menolak nama itu sebaliknya cuma mahukan ia dipanggil pengurus.

Ketika itu, beliau turut membayangkan tiga nama selain Harris sebagai calon penyandang jawatan itu yang terdiri daripada Setiausaha Agung FAM, Datuk Dell Akhbar Khan Hyder Khan, bekas ketua pasukan negara, Soh Chin Aun dan Rahman sendiri.

Ketika Sukan SEA XX di Brunei, jawatan pengurus pasukan kebangsaan secara tetap dipegang oleh Naib Presiden FAM, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar.

Tengku Abdullah bagaimanapun berkata, soal Harris menjadi pengurus skuad Malaysia tidak mustahak sebaliknya FAM lebih memandang kemampuannya untuk memikul tanggungjawab penuh terhadap pasukan.

"Dia sebenarnya secara tidak langsung dalam erti kata lain, sudah menjadi seorang pengurus,'' kata beliau sambil mengakui cuma jawatan ketua jurulatih yang tercatat pada kontrak pelantikan Harris pada 8 Disember lalu.

FAM katanya, mungkin memilih salah seorang pegawai FAM untuk menjadi ketua delegasi skuad kebangsaan yang akan menyertai sebarang kejohanan antarabangsa.

Ditanya apakah ketua delegasi itu akan diperkenalkan pada pusingan kelayakan Piala Dunia, beliau cuma berkata: "Itu belum tahu lagi.'

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4bMmPpSaK
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan