Selasa, 14 Mac 2017

Harris puas hati

ARKIB : 21/01/2001
Persembahan anak buahnya yang mula menampakkan mereka menyerap sistem permainan yang cuba diterapkannya nyata memuaskan hati jurulatih dari England itu setakat ini.

Semalam, pasukan senior negara yang dibimbing oleh Harris dipertemukan dengan rakan mereka dalam skuad bawah 23 tahun dalam perlawanan latihan dan mereka menang 2-0.

Hairuddin Omar menyumbat gol sulung sebelum Bobby Pian menambah gol kedua.

"Perlawanan ini telah menampakkan wujud peningkatan dari segi persembahan pemain-pemain saya,'' katanya selepas perlawanan itu, di Kelana Jaya semalam.

"Pemain-pemain telah memahami apa yang saya mahu dan mereka mentafsirkannya dengan gerakan berkesan ketika bermain.

"Saya gembira kerana pasukan bawah 23 memberikan saingan yang bagus yang sememangnya diperlukan oleh kita.''

Katanya, walaupun masih jauh daripada berpuas hati, namun peningkatan itu setidak-tidaknya melegakan beliau yang mula menjawat jawatan jurulatih pada awal tahun ini.

"Saya masih belum boleh berpuas hati tetapi kita membina pasukan ini secara perlahan-lahan,'' katanya. "Lagipun kita baru dua minggu berlatih.''

Seramai 24 pemain menjalani latihan pusat yang bermula sejak dua minggu lepas dan Harris mencuba kesemuanya dalam perlawanan selama sejam itu.

Perlawanan itu adalah sebahagian daripada persediaan pasukan negara menghadapi kelayakan Piala Dunia Mac ini.

Malaysia akan bersaing dalam Kumpulan Tiga Asia bersama-sama Hong Kong, Qatar dan Palestin.

Penyerang remaja, Akhmal Rizal Ahmad Rakhli yang sedang menjalani latihan di Perancis juga akan menyertai kem latihan pusat itu tidak lama lagi.

Kehadiran Akhmal bakal menjadikan barisan hadapan mempunyai lima penyerang bersama-sama dua penyerang Selangor, Rusdi Suparman dan Hairuddin serta gandingan dari Perak, Khaled Jamlus dan V. Saravanan.

"Kehadiran Akhmal akan menjadikan persaingan di barisan depan lebih sengit dan ini baik untuk pasukan,'' kata Harris.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0121&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4bMUx9C8q
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan