Rabu, 15 Mac 2017

Skuad bawah 19 negara ada potensi

ARKIB : 22/02/2001
SKUAD Malaysia bawah 19 tahun mempunyai potensi besar untuk menjadi pasukan yang bermutu jika banyak pendedahan di peringkat tempatan dan antarabangsa dilakukan ke atas pemainnya.

Jurulatih pasukan itu, B. Sathianathan berkata, semua pemainnya didapati mempunyai kemahiran bermain bola dan komitmen tinggi serta mempunyai potensi tinggi untuk menjadi pemain yang baik.

Sehubungan itu, katanya, sebagai pasukan kebangsaan, pemainnya perlu mendapat pengalaman beraksi sama ada dengan pasukan tempatan atau luar negara.

Beliau juga menambah, untuk memastikan tujuan itu tercapai, pasukan ini akan menyertai pertandingan Piala Presiden pada bulan depan sebagai persediaan menghadapi pusingan kelayakan Piala Dunia Remaja pada tahun depan.

Sehubungan itu, katanya, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) diharap akan mengatur lebih banyak perlawanan di peringkat antarabangsa pada masa akan datang selepas menentang pasukan England Bawah 19 tahun, malam semalam di Stadium Larkin, Johor Bahru.

Pada perlawanan kelmarin, pemain Malaysia bawah 19 tahun menunjukkan persembahan terbaik sehingga berjaya mengikat pasukan England bawah 189 tahun dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Kelincahan penyerang Malaysia, Farid Idris mendapat pujian daripada pegawai pasukan England apabila berjaya mengucar-ngacirkan pertahanan lawan sekali gus mencemaskan pasukan lawan.

Farid memperoleh dua peluang terbaik untuk menjaringkan gol pada minit ke-21, tetapi percubaannya lemah dan bola tendangannya terus kepada dakapan penjaga gol England, Andrew Grainger.

Pada minit ke-37, bola hantaran Mohd. Zulkifli Affendy gagal dikuis masuk ke dalam jaring oleh Farid walaupun beliau berhadapan dengan Andrew sahaja.

England pula memperoleh peluang terbaik pada minit ke-13 untuk mendahului Malaysia tetapi sepakan James Thornby terkena tiang gol setelah menewaskan penjaga gol Malaysia, Mohd. Shamsuri Mustafa.

Separuh masa kedua menyaksikan England hampir menembusi apabila tandukan Richard Peel pada minit ke-89 tersasar sedikit daripada pintu gol.

MALAYSIA: Mohd. Shamsuri Mustafa, Rezuan Muhamad Radzy, Zairo Anuar Zalani, Firdaus Mokhtar, Mohd. Zukifli Affendy, Farid Ederis, Mohd. Fauzi Adnan (Fairuz Montana Zainal), Mohd Sharizan Mohd. Salleh, Azman Harun (Amir Shahreen Abu Mubin), Tengku Alias, Marzuki Yusof.

ENGLAND: Andrew Grainger, Nathan Jolly, Abdrew Stanford, Luke Kitchen, Richard Pell, James Thornby, Alex Porter, John Mc Gill, Tom Griffin, Graham Hockless, Paul Hone

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0222&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4bPKPILMn
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan