Rabu, 15 Mac 2017

Azam Rudie untuk kuasai Liga Jerman

ARKIB : 23/02/2001
BERAKSI bersama kelab divisyen tiga Jerman, SV Wehen 1926 hanya satu permulaan buat penyerang berbakat negara, Rudie Ramli.

Pemain kelahiran Selangor itu sebenarnya mempunyai matlamat yang lebih besar, menguasai Liga Jerman (Bundesliga) satu hari nanti.

Malah, seandainya dikurniakan ``tuah'' serta bakat yang berpanjangan dan terus menyinar, Rudie percaya tidak mustahil untuknya mencipta nama di Eropah.

Langkah Rudie tidak sumbang sebaik memulakan cabaran bersama kelab barunya itu apabila menjaringkan dua gol dalam perlawanan sulung.

Kecemerlangan itu jelas menunjukkan anak muda dari Gombak ini berjaya mengatasi kerisauan awalnya mengenai komunikasi, makanan dan cuaca yang dikhuatiri akan menjadi masalah utama.

Bercakap soal masalah komunikasi, pemain remaja berusia 19 tahun itu berkata: ``Saya bercadang untuk belajar bahasa Jerman.

``Saya bersungguh dengan apa yang saya katakan. Selepas beberapa minggu berada di sana nanti saya akan minta pertolongan daripada pegawai atau rakan-rakan sepasukan untuk menguruskan perkara ini.''

Rudie dan Fadzli mengikat kontrak empat bulan bersama SV Wehen bermula 1 Februari hingga 30 Jun dengan menerima bayaran DM3,000 (RM5,500) sebulan.

Kedua-dua remaja ini turut bernasib baik kerana mendapat perhatian penuh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang menyumbangkan RM3,000 setiap seorang.

Rudie dan Fadzli adalah segelintir daripada pemain remaja negara yang berpeluang beraksi di Eropah selepas Akmal Rizal dan Juzaili Samion menyertai kelab Perancis, FC Haguenau.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0223&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4bPS5Oeic
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan